Jenazah Siti Kharina tiba kediaman keluarganya di Kampung Tengah, Kuala Pilah. FOTO Iqmal Haqim Rosman


“TERGAMAK mereka bunuh Kak Long dan pelakunya mesti diheret ke muka pengadilan,” kata Datin Fauziah Mohamed, 54, ibu saudara ketua jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin, 40, yang ditemui meninggal dunia di sebuah rumah di Cyberjaya, petang semalam.

Fauziah berkata, mereka bersedih dengan kematian itu yang dianggap ujian terbesar sepanjang Ramadan.

“Ini bulan puasa, kenapalah mereka lakukan pada Kak Long. Kami mahu penjenayah ditangkap dan dibawa ke pengadilan,” katanya yang memanggil Siti Kharina sebagai Kak Long.

Menurut Fauziah, kali terakhir dia bertemu arwah 4 Mei lalu iaitu sehari sebelum Ramadan bagi berbincang persiapan meraikan Syawal di Kampung Tengah, Seri Menanti, Kuala Pilah.

“Arwah tidak menampakkan perubahan dan dia seorang yang baik serta peramah. Kematian ini mengejutkan,” katanya.

Katanya, dia mengetahui insiden itu melalui kumpulan WhatsApp keluarga hari ini.

Sepupu arwah yang mahu dikenali Zura, 49, berkata, perkhabaran itu sangat mendukacitakan.

Katanya, sudah beberapa tahun dia tidak berjumpa arwah biarpun hanya menetap di Kuala Lumpur.

“Saya merancang untuk bertemu arwah Syawal ini dan ia sangat memilukan,” katanya.

Sementara itu jenazah arwah tiba di kampung itu 6.15 petang hari ini sebaik selesai bedah siasat di Hospital Serdang, Selangor.

Jenazah arwah disolatkan di rumah keluarga di kampung itu dan dikebumikan malam ini.

Hadir menziarahi adalah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Ahli Parlimen Kuala Pilah, Eddin Syazlee Shith.

Arwah yang hilang sejak 8 Mei lalu meninggalkan suami, Mohd Udzir Khalid, 40, dan tiga anak perempuan, Khairin Uzma, 14, serta anak kembar, Khairin Daima Hana dan Khairin Damia Hasya yang berusia 10 tahun.

Berita berkaitan

Suspek kes bunuh jururawat ditahan

'Lelaki Nigeria diburu kes bunuh Siti Kharina [METROTV]'

'Siti Kharina dibunuh?'

'Henti sebar maklumat palsu kakak saya'

Masih tiada khabar dari Siti Kharina

'Bantu kami kesan kakak'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 8:17 PM