NUR Hidayah (kiri) yang mewakili Aminah di Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur. FOTO Saifullizan Tamadi
Nor Azura Abdul Jalil


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam menetapkan 25 Julai ini untuk pendengaran hujahan bantahan awal balu dan tiga anak bekas menteri, Allahyarham Tan Sri Dr Jamaludin Jarjis terhadap permohonan tuntutan sijil faraid oleh ibu Jamaludin, Aminah Abdullah.

Tarikh ditetapkan Hakim Syarie Zaim Md Yudin pada prosiding sebutan kali pertama di hadapannya, semalam.

Kedua-dua pihak juga diperintahkan membuat hujahan secara bertulis dan boleh menambah hujahan secara lisan sekiranya ada.

Pada prosiding itu, Aminah, 85, yang diwakili peguam syarie Nur Hidayah A Bakar hadir bersama adik tiri Jamaludin, Mohamad Najeb Ali manakala balu Jamaludin serta anak-anaknya bagaimanapun tidak hadir.

Balu Jamaludin, Puan Sri Dr Kalsom Ismail, 63, diwakili peguam syarie Datuk Shamsuriah Sulaiman manakala empat anaknya diwakili peguam syarie, Zuri Zabuddin Budiman.

Kalsom dan empat anaknya, Ikwan Hafiz, 32, Nur Anis, 34, Nurul Alyaa, 28, dan Noor Adilla, 24, adalah defendan pertama hingga keempat sebelum ini mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan Aminah bagi mendapatkan sijil faraid untuk pembahagian harta Jamaludin yang dianggarkan bernilai lebih RM2 bilion.

Aminah memfailkan permohonan itu pada 2 Mac tahun lalu mengikut Seksyen 46(ix), Akta Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.

Pada 4 April 2015, Jamaludin yang ketika itu berusia 64 tahun dan adalah bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada jam 4.55 petang.

Turut maut, juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier, Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang, pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita dikenali sebagai Aidana Baizieva.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 6:15 AM