HUSAIN (kiri) bersama Ahli Jawatankuasa Masjid Al Hidayah berbincang mengenai persiapan Program TKHM Ramadan 2019 dengan kerjasama PLUS Malaysia Berhad (PLUS) di Kampung Ulu Tawar. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Shamsul Munir Safini


SAJIAN lemang dan kanji (bubur lambuk) udang antara juadah wajib penduduk di Kampung Ulu Tawar, Baling ketika berbuka puasa pada Ramadan.

Malah menu unik itu akan disajikan kepada 1,000 sukarelawan, keluarga miskin dan penduduk kampung yang hadir pada program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Ramadan 2019 dengan kerjasama PLUS Malaysia Berhad (PLUS) pada 25 Mei ini.

Iman Masjid Al Hidayah, Kampung Ulu Tawar, Abdul Wahab Cik Li berkata, persiapan TKHM di masjid berkenaan yang akan menjadi lokasi utama penganjuran sudah di peringkat akhir.

Katanya, persiapan itu membabitkan penyediaan khemah, menu berbuka dan beberapa perkara lain termasuk mencari keluarga untuk disalurkan bantuan nanti.

Beliau berkata, mereka tidak sabar bersama-sama memeriahkan program TKHM Ramadan yang pertama kali dilangsungkan di sini.

“Kami bersyukur dengan hasrat pihak Harian Metro dan PLUS yang memilih kampung kami bagi mengadakan majlis ini.

“Saya berharap ia berlangsung dengan lancar tanpa sebarang masalah dan persiapan kini sedang giat dijalankan, ” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan wakil TKHM Ramadan bersama PLUS 2019.

Sementara itu, Pengarang Eksekutif, Komersial Harian Metro (HM) merangkap Pengerusi Penganjur TKHM 2019, Husain Jahit berkata, menerusi program itu, anak yatim, ibu tunggal dan keluarga miskin diberikan bantuan hamper dan barang keperluan persiapan menjelang Aidilfitri.

Seramai 200 anak yatim piatu dibawa membeli kelengkapan Aidilfitri sebelum majlis berbuka puasa beramai-ramai di Masjid Al Hidayah.

Turut disantuni ialah 30 keluarga fakir miskin dan 20 ibu tunggal dalam bentuk barang keperluan dapur dan wang tunai.

Dijangkakan hampir 1,000 termasuk sukarelawan, anak yatim dan penduduk kampung akan memenuhi pekarangan Masjid Al Hidayah pada 25 Mei ini.

TKHM menggabungkan konsep sedekah dan amal dengan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Ia perkongsian syarikat korporat dan swasta bagi meringankan beban golongan memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 2:33 PM