ANGGOTA polis memeriksa motosikal yang ditemui semula selepas menahan seorang remaja (baju kuning hitam) di Sungai Lalang, Bedong. FOTO ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


UMUR masih remaja dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun ini namun dua pelajar tingkatan lima sanggup merosakkan masa depan mereka dengan terbabit dalam kegiatan curi motosikal di daerah Bedong, Kedah.

Bagaimanapun tindakan dua remaja lelaki terbabit bersama seorang lagi rakan jenayah mereka berusia 19 tahun mengundang padah apabila ditahan polis dalam serbuan berasingan, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, suspek pertama ditahan di rumahnya di Taman Semeling Indah, Bedong sebelum polis merampas enjin motosikal Sym Bonus yang dilaporkan hilang sebelum ini.

Menurutnya, suspek mengaku mencuri motosikal bersama rakan sebayanya sebelum komponen motosikal diberi kepada suspek ketiga manakala rim ‘sport’ diambil suspek kedua.

“Dia hanya menyimpan enjin di rumahnya manakala rangka motosikal dibuang di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan Aman Jaya, Sungai Lalang.

“Susulan itu, polis menahan suspek kedua di rumahnya di Persiaran Aman Jaya, Sungai Lalang dan merampas sebuah motosikal Honda EX5 yang dilaporkan hilang sebelum ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Adzli berkata, suspek kemudian mengaku terbabit dalam kegiatan curi motosikal sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk tindakan selanjutnya.

“Suspek ketiga yang bekerja kilang pula ditahan di rumahnya di Taman Seri Semeling sebelum polis merampas sebuah motosikal SYM Bonus yang dipasang komponen curi.

“Dia mengaku memasang komponen motosikal curi bersama suspek pertama dan membantu meleraikan komponen curi itu di dalam semak di belakang Sekolah Aman Jaya, Sungai Lalang,” katanya.

Beliau berkata, mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 2:46 PM