Nur Saliawati Salberi


REMAJA lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Bukit Rambai, Melaka, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11 malam, mangsa, Ku Muhammad Arshad Abdullah, 15, yang juga pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Bukit Rambai maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC dalam perjalanan dari arah Tanjung Minyak menghala ke Bukit Rambai dan kereta Honda City dipandu lelaki berusia 66 tahun juga bergerak dari arah sama.

Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika kereta dipandu warga emas terbabit mahu membuat pusingan U di laluan garisan berkembar.

ANGGOTA polis dan orang awam mengangkat mayat Ku Muhammad Arshad untuk dibawa ke Hospital Melaka. FOTO Rasul Azli Samad

“Hasil siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku ketika Honda City yang ketika itu berada di bahu kiri jalan membuat pusingan U.

“Mangsa yang kebetulan melalui lokasi kejadian dari arah belakang tidak dapat mengelak lalu terlanggar bahagian pintu pemandu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Afzanizar berkata, akibat perlanggaran itu, mangsa tercampak ke laluan bertentangan.

“Mangsa yang mengalami kecederaan luka besar di leher dan dada disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

“Pemandu kereta mengalami pendarahan di hidung serta mata dan dirawat di Hospital Melaka,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke hospital sama bagi proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 3:02 PM