GAMBAR hiasan. ARKIB NSTP.
Helmy Abd Rahman


HANYA dua daripada 4,722 pesalah trafik yang dirakam melakukan kesalahan menerusi kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) di Terengganu, membayar denda di mahkamah.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Zulkarnain Mat Yasin berkata, jumlah itu membabitkan tempoh September 2018 hingga awal bulan ini.

“Pesalah trafik yang dirakam melakukan kesalahan melalui kamera AWAS ini tidak semestinya hadir ke mahkamah, sebaliknya boleh juga membayar saman di kaunter JPJ.

“Mana-mana yang gagal melunaskan saman akan disenaraihitamkan sekali gus menyukarkan mereka berurusan dengan kita, contohnya untuk memperbaharui lesen memandu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di Jalan Bukit Kecil di Kuala Terengganu, semalam.

Menurutnya, semua notis saman dikeluarkan di Kemaman membabitkan kamera AWAS yang dipasang di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2).

“Ia membabitkan rakaman dari kedua-dua arah,” katanya.

Untuk rekod, JPJ mengambil alih operasi AWAS pada 1 September tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 3:19 PM