FOTO Hiasan
Murni Wan Omar


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa notis usul bagi melucutkan hak harta masih belum dapat diserahkan kepada ibu ahli perniagaan Low Taek Jo atau dikenali sebagai Jho Low.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shukri ketika kes disebut semula di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Goh Gaik Ewe adalah salah seorang responden dalam notis usul yang dikemukakan oleh Pejabat Peguam Negara berhubung pelucutan hak harta membabitkan rumah, barang kemas, beg tangan mewah dan wang milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor serta tiga anak mereka.

Muhammad Shukri turut memaklumkan bahawa pihaknya memerlukan masa bagi menyerahkan notis kepada beberapa individu lagi.

Sementara itu, peguam M Puravalen dan Ragunath Kesavan yang mewakili Goh Gaik Ewe berkata, ibu Jho Low itu kini berada di luar negara dan mereka diberi kuasa untuk menerima notis itu.

Mahkamah memerintahkan notis itu diserahkan kepada wakil Goh itu dan menetapkan 30 Mei depan untuk pengurusan kes.

Sementara itu, di Mahkamah Tinggi berasingan, pendakwaan memaklumkan pihaknya sudah memfailkan notis usul baharu kepada Obyu Holding Sdn Bhd bagi tambahan harta iaitu cincin berlian emas putih bernilai RM6,200.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan 8 Julai depan untuk sebutan semula kes itu.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hadir bagi mewakili Najib, manakala peguam Azrul Zulkifli Stork hadir bagi mewakili Rosmah, Nooryana Najwa Najib, 31, Nor Ashman Razak Najib dan Riza Shahrir Abdul Aziz.

Pada 7 Mei lalu, Pejabat Peguam Negara memfailkan notis itu berhubung ratusan beg tangan pelbagai jenama, mata wang asing, jam tangan dan 27 buah kereta yang dirampas daripada Najib, Rosmah dan tiga anak mereka, 13 individu dan syarikat.

Najib, Rosmah dan tiga anak mereka iaitu Riza Shahriz Abdul Aziz, Nor Ashman Razak Mohd Najib dan Nooryana Najwa Mohd Najib dinamakan sebagai responden dalam permohonan itu.

Pendakwa Raya turut menamakan 13 lagi pihak sebagai responden iaitu Mohd Kyizzad Mesran, Aiman Ruslan, Goh Gaik Ewe (ibu ahli perniagaan Jho Low atau Low Taek Jho), Ng Chong Hwa atau Roger Ng, Lim Hwee Bin, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun.

Selain itu, pendakwa raya menamakan Senijauhar Sdn Bhd, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih dan Rembulan Kembara Sdn Bhd juga sebagai responden.

Melalui notis usul itu, Pendakwa Raya memohon perintah mahkamah supaya disiarkan satu notis dalam warta di mengikut Seksyen 61(2) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Daripada Aktiviti Haram 2001.

Ini kerana, ia bagi memanggil semua pihak ketiga yang menuntut kepentingan terhadap harta dirampas daripada semua responden, untuk hadir atau melalui peguam di hadapan Mahkamah Tinggi pada tarikh yang akan ditetapkan.

Ia juga bertujuan bagi pihak ketiga menunjukkan sebab mengapa harta itu tidak harus dilucuthak kepada Kerajaan Malaysia.

Notis itu difailkan Pendakwa Raya bertindak mengikut kuasa yang diberi di bawah Seksyen 56(1) dibaca bersama Seksyen 376 Kanun Acara Jenayah selepas berpuas hati harta yang disita pegawai penyiasat antara 17 Mei 2018 dan 11 Mac 2019 berkaitan pelakuan kesalahan mengikut Seksyen 4(1) atau hasil daripada aktiviti haram membabitkan responden.

Pendakwa Raya juga memfailkan notis usul sama terhadap Obyu Holding Sdn Bhd selaku responden tunggal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 10:47 PM