GEORGE (dua kiri) menunjukkan gambar suspek yang diburu dan barangan yang dirampas. FOTO ihsan Polis
Junaidi Ladjana


DUA lelaki melakukan samun bersenjatakan parang di sekitar Kota Kinabalu sejak awal tahun ini akhirnya diberkas sepasukan polis.

Kedua-dua suspek berusia 24 dan 25 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dalam serbuan di kawasan Kampung Sembulan, 15 Mei lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata, penahanan suspek dibuat susulan kes samun suami isteri di hadapan kedai di Sadong Jaya, Karamunsing, 12 Mei lalu.

“Mangsa suami isteri berusia 19 dan 21 tahun dilaporkan disamun dua lelaki dengan diacukan parang pada leher sebelum dua telefon bimbit milik mangsa dilarikan.

“Bertindak atas laporan itu, sepasukan polis melakukan serbuan di kawasan Kampung Sembulan dan menahan dua suspek disyaki terbabit dalam kes samun berkenaan,” katanya di Kota Kinabalu, hari ini.

George berkata, polis turut merampas beberapa barangan antaranya lima tablet dan telefon bimbit serta parang panjang berukuran 44 sentimeter.

“Modus operandi suspek ialah menggunakan sebilah parang untuk menakut-nakutkan mangsa sebelum merampas barang berharga milik mangsa dan melarikan diri.

“Semakan juga mendapati, suspek yang berusia 25 tahun warga tempatan mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan ragut. Seorang lagi adalah warga asing.

“Dengan penahanan suspek, kita percaya menyelesaikan lima kes samun di daerah ini. Bagaimanapun polis masih menjalankan siasatan untuk mengesan seorang lagi suspek dikenali sebagai Rafi Jakarta @ Duk, 30, warga Filipina,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Caption:

1. George menunjukkan gambar seorang lagi suspek yang diburu dan barang rampasan.

2. Antara barangan rampasan susulan penahanan dua suspek di Kampung Sembulan, Kota Kinabalu.

3. Rafi Jakarta @ Duk, 30, dikehendaki polis.

tamat

From: junaidi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2019 @ 10:26 AM