GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


JABATAN Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman kecewa apabila tujuh anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfileds, Kuala Lumpur ditahan kerana memeras warga asing, semalam.

Pengarahnya, Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata, perbuatan tujuh anggota terbabit dikesan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman.

Katanya, anggota melakukan perkara tidak sepatutnya sekaligus mencemarkan imej pasukan polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Terdapat kelompongan dalam perkara ini dan setiap anggota perlu menjaga integriti. URB barisan hadapan yang mengekang jenayah dan jangan memalukan pasukan,” katanya pada Program Sahur Santai bersama Pengarah JPJKK Bukit Aman di Dataran Nilai, hari ini.


ROSLI (kiri) memeriksa keadaan URB di Dataran Nilai. FOTO Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Op Darat JPJKK, Datuk Khalil Ariffin; Pemangku Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop; dan Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar.

Rosli berkata, tindakan akan diambil terhadap tujuh anggota terbabit selain beliau menggesa anggota mengelak rasuah dan pemerasan.

“Tolong jaga tingkah laku dan jangan memalukan,” katanya yang turut memeriksa keadaan URB dan kereta peronda polis (MPV).

Dalam program itu, 40 anggota dari IPD Nilai, Seremban, Port Dickson dan Sepang bersahur bersama dan beliau turut menyampaikan amanat untuk menjaga integriti dan bebaskan diri daripada rasuah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2019 @ 12:02 PM