KERATAN laporan sebelum ini.
BERNAMA

LAPAN lelaki dan dua wanita ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes ugutan terhadap pengarah penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, tujuh lelaki tempatan dan seorang Indonesia berusia 22 hingga 57 tahun itu, ditahan pada 2.45 petang Rabu lalu.

Manakala dua wanita berusia 19 dan 46 tahun ditahan semalam di sekitar Gombak.

Katanya, kesemua mereka ditahan susulan laporan polis yang diterima pada 13 Mei lalu, berhubung rumah milik pengarah penguat kuasa MPS di Taman Muhibbah Rawang, Selangor diserang menggunakan cat berwarna merah hingga menyebabkan dua kenderaan milik mangsa rosak.

“Kejadian yang sama pernah berlaku pada 28 April lalu, apabila suspek membakar mercun yang diletakkan dalam tong cat merah bersama paku, besi dan serpihan kertas.

“Pengakuan awal suspek menyatakan, mereka diupah untuk menyerang rumah mangsa, dipercayai kerana tindakan tegas yang diambil MPS bagi menangani masalah pembuangan sampah di tapak pelupusan haram di kampung Sungai Tua Batu Caves, Selangor,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Fadzil berkata, seorang lagi individu yang dikenali sebagai Jafni Abdullah @ Mohd Yusoff, 47, atau digelar Man Puchong dicari bagi membantu siasatan.

Menurutnya, semua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan masih dalam tahanan reman untuk siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan:

  • Norhayati diancam dua kali
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2019 @ 9:03 PM