RAJA Tengku Ibrahim dan isteri menyampaikan duit raya pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Pelajar Tahfiz dan Anak-Anak Yatim, semalam. FOTO Rozainah Zakaria.
Ahmad Rabiul Zulkifli

“TUJUAN utama saya hafal 30 juzuk al-Quran demi bantu arwah ibu dan ayah di akhirat nanti,” kata remaja yatim piatu, Muhammad Harris Irfan Muryadi.

Muhammad Harris, 14, seorang daripada 25 pelajar tahfiz diraikan pada Majlis Berbuka Puasa MCOBA Terengganu Chapter, kelmarin.

Remaja itu kematian bapa, Muryadi Mustafa ketika berusia 10 tahun manakala ibu, Fazlina Ismail, meninggalkannya dua tahun kemudian.

“Ibu meninggal dunia kerana jangkitan kuman pada paru-paru dan bapa disebabkan asma. Selepas kematiannya, saya bersama abang, Muhammad Alif Haikal dan adik, Nur Farah Diana menetap bersama nenek di Kampung Paya Bunga.

“Selepas tamat sekolah rendah, saya beritahu hasrat menghafal al-Quran sebelum dihantar ke Maahad Tahfiz al-Quran al Azhar di Kuala Ibai,” katanya.

Menurutnya, misinya hanya mahu menghafal al-Quran secepat mungkin dengan harapan dapat membantu ibu, bapa dan keluarganya di akhirat nanti.

“Ustaz beritahu seorang anak yang hafal al-Quran berpeluang tolong ibu bapa dan keluarga mereka di akhirat nanti.

“Sebab itu ia jadi pendorong kepada saya bersungguh-sungguh menghafal al-Quran,” katanya.

MOHAMMAD Harris Irfan Muryadi. FOTO Rozainah Zakaria.

Kata Muhammad Harris, walaupun ibunya hampir tiga tahun meninggal dunia dia tetap merinduinya saban hari.

“Saya rindu ibu terutama pada Ramadan, biasanya kami buat persiapan berbuka bersama tetapi sekarang tidak lagi.

“Setiap kali rindu, saya berdoa dan menghadiahkan bacaan ayat al-Quran kepadanya,” katanya.

Sementara itu, Presiden MCOBA Terengganu Chapter, Tengku Seri Paduka Raja Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasiruddin Shah berkata, semua pihak terutama NGO perlu mengambil peluang meraikan golongan kurang berkemampuan sepanjang Ramadan.

“Masih ramai anak yatim, pelajar tahfiz, penduduk miskin dan insan memerlukan di negeri ini perlu diberikan perhatian dan kegembiraan.

“Amat wajar jika semua NGO berlumba-lumba meraikan, sekali gus membantu mereka menyambut Ramadan selain membuat persiapan menjelang Aidilfitri,” katanya.

Pada majlis sama, 32 penghuni Taman Sinar Harapan Bukit Besar turut diraikan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 5:46 AM