Ewon (tengah) ketika gimik Perasmian Sambutan Pesta Kaamatan Kampung Kiau. FOTO Ihsan Kementerian Pembangunan Luar Bandar
Ewon (tengah) ketika gimik Perasmian Sambutan Pesta Kaamatan Kampung Kiau. FOTO Ihsan Kementerian Pembangunan Luar Bandar
Fardy Bungga


KERAJAAN negeri menyumbang geran dana RM500,000 kepada Persatuan Memulihara Warisan Tradisi dan Alam Semula Jadi Kampung Kiau Nuluh (GOMPITO) bagi melestarikan tagal hutan komuniti dan pembangunan pelancongan kampung berkenaan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, geran itu diharap dapat digunakan sebaiknya untuk membangunkan kemudahan pusat pelancongan Kampung Kiau bagi menambahkan keselesaan kepada pelancong.

Katanya, pelaksanaan tagal hutan komuniti mampu menjadi tarikan pelancong dan menjana pendapatan komuniti kampung jika diurus dengan baik.

“Pemilikan, pembangunan dan pelestarian tanah adat melalui konsep tagal hutan komuniti boleh dilaksanakan dan sangat dialu-alukan kerajaan.

“Di Kampung Kiau terdapat 480 hektar kawasan daripada Taman-Taman Sabah dikeluarkan dan diserahkan kepada penduduk kampung kerana itu adalah tanah adat mereka sejak dari dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Kampung Kiau, Kota Belud semalam.

Ewon berkata, bagi melestarikan kawasan itu, penduduk kampung bersetuju menubuhkan badan pemegang amanah seterusnya memperkenalkan tagal hutan komuniti yang dibangunkan sebagai pusat eko pelancongan.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, beliau berharap lebih banyak kampung luar bandar di negeri itu dapat menggunakan pendekatan tagal hutan komuniti sebagai salah satu bentuk urus tadbir tanah adat seperti tagal sungai yang boleh dibangunkan menjadi pusat tarikan pelancong.

“Tahun lalu, saya menjemput Ketua Menteri singgah ke kampung ini untuk melihat potensi di sini dan beliau bersetuju untuk membantu pembangunan pelancongan di tagal hutan komuniti dan pusat keusahawanan nanas di sini.

“Hari ini geran dana RM500,000 diterima GOMPITO dan RM100,000 lagi diterima Koperasi Konduan Kiau Nuluh untuk membiayai keperluan kelengkapan tambahan di pusat pemprosesan nanas di sini,” katanya.

Sementara itu mengenai sambutan Pesta Kaamatan di kampung itu Ewon berkata, ia lebih bermakna pada tahun ini kerana selain menerima geran dana pembangunan pelancongan dan tagal hutan komuniti, beberapa projek kecil pembangunan sudah dilaksanakan dalam tempoh setahun selepas beliau menjadi wakil rakyat.

“Antaranya empat jalan konkrit baru, satu jalan pertanian baru, gimnasium rakyat, jambatan gantung, pondok bas sekolah dan Dewan Budaya yang dilaksanakan di bawah peruntukan saya.

“Hari ini, konsep tuaian kejayaan tidak hanya mencakupi hasil pertanian tetapi juga hasil kejayaan dalam bidang pembangunan, kerjaya, perniagaan, keusahawanan, pendidikan, keluarga dan sebagainya.

“Paling utama ialah tuaian perpaduan dan kerjasama yang memungkinkan lebih banyak kejayaan lain dapat dicapai. Saya mendoakan Kampung Kiau akan terus berjaya dan cemerlang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 11:11 AM