Laporan portal berita Harian Metro sebelum ini.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


WARDEN asrama yang disyaki meliwat dua pelajar tahfiz lelaki dan mencabul tiga pelajar lain di asrama mereka menginap di Simpang Empat, Kangar April lalu disambung reman tujuh hari lagi sehingga 24 Mei ini bermula semalam.

Ketua Polis Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, tempoh lanjutan penahanan reman ke atas lelaki berusia 28 tahun itu bertujuan untuk melengkapkan lagi proses siasatan pihaknya berhubung kejadian liwat itu.

“Setakat ini ada maklumat positif yang kita terima daripada suspek bagi membantu siasatan kes.

“Bagaimanapun saya tidak boleh dedahkan kepada umum kerana bimbang ia mengganggu proses siasatan dalaman polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Wari berkata, pihaknya juga menolak kemungkinan mangsa yang terbabit dalam kejadian liwat ini lebih daripada lima orang.

“Buat masa ini hanya lima saja yang menjadi mangsa suspek dan mereka sudah tampil membuat laporan polis sebelum suspek ditahan minggu lalu.

“Bagaimanapun kita memohon orang awam tampil membuat laporan polis seandainya mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini,” katanya.

Laman portal Harian Metro minggu lalu melaporkan, polis memburu warden pusat tahfiz yang disyaki meliwat dan mencabul lima pelajar lelaki pusat itu sejak April lalu.

Berdasarkan laporan awal yang dibuat oleh guru di pusat tahfiz berkenaan, suspek dipercayai meliwat dua pelajar berusia sembilan dan 15 tahun selain mencabul tiga pelajar lain berusia antara sembilan ke 12 tahun.

Bagaimanapun, suspek berjaya melarikan diri ke Perak sejurus laporan dibuat dan polis berjaya menahannya di sebuah pusat tahfiz di Kampung Buaya Manora, Kuala Kangsar 11 Mei lalu sebelum direman tujuh hari sehingga 17 Mei lalu.

Berita berkaitan

Suspek liwat pelajar tahfiz direman [METROTV]

Warden liwat, cabul pelajar ditahan

Warden liwat, cabul pelajar lari ke Perak

Warden asrama didakwa liwat, cabul pelajar

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 12:19 PM