Laporan portal berita Harian Metro sebelum ini.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


INDIVIDU yang membakar kereta rasmi Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin di kediamannya pada 22 Mac lalu berjaya diberkas di Jelempok, Arau, semalam.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, susulan itu suspek lelaki yang juga penganggur berusia 36 tahun direman empat hari mulai semalam sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang memburu empat lagi suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian itu.

“Tangkapan dilakukan 2.45 pagi semalam dan suspek yang juga duda mengaku terbabit dalam membakar kereta Mohd Asri kerana bermotifkan dendam berhubung pemecatan imam di negeri ini beberapa bulan lalu.

“Dia juga memberitahu terdapat seorang lagi suspek membantunya membakar kereta Mohd Asri dan mereka menerima upah RM500 daripada lelaki bernama Zaini.

“Polis kini sedang memburu rakan suspek yang digelar Mie Tomoi dan Zaini bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mushar berkata, dua lagi suspek masih belum dikenal pasti pihaknya namun dia percaya dengan penangkapan suspek semalam bakal merungkai identiti mereka yang dipercayai menjadi dalang utama kes itu.

“Kita percaya suspek bersama rakannya yang digelar Mie Tomoi hanya menerima upah daripada Zaini dan dua lagi suspek lelaki bagi membakar kereta Mohd Asri.

“Pemeriksaan ke atas suspek mendapati dia ada rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan jenayah lain,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat dengan api.

Dalam kejadian itu, kereta rasmi jenis Honda Accord kegunaan Mohd Asri dibakar pada bahagian bonet selain cermin hadapan turut dipecahkan dipercayai perbuatan khianat.

Kejadian itu disedari ahli keluarganya ketika mereka melakukan persiapan untuk solat Subuh 6.05 pagi pada hari kejadian itu berlaku.

Berita berkaitan

Polis nasihat Dr MAZA berjaga-jaga

[UPDATE] 2 lelaki diburu

Kereta Dr MAZA dibakar, cermin dipecahkan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 1:12 PM