Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


LELAKI maut dipercayai ditetak dengan parang selepas berlaku pergaduhan antara dua kumpulan di sebuah pusat hiburan di Bandar Baru Medan Ipoh, Ipoh hari ini.

Difahamkan, mangsa berusia 35 tahun disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selepas parah di beberapa bahagian badan akibat ditetak.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohd Nordin Abdullah berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian itu 8 pagi yang memberitahu seorang lelaki dimasukkan ke Zon Kritikal HRPB dan sudah meninggal dunia.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia akibat parah berpunca daripada tetakan selepas berlaku pergaduhan antara kumpulan mangsa dan satu lagi kumpulan lain di pusat hiburan itu.

“Siasatan mendapati ketika mangsa berhibur dan dipercayai mabuk selepas minum arak, berlaku pergaduhan antara kedua-dua kumpulan di dalam pusat hiburan itu.

“Pergaduhan itu berlanjutan hingga ke luar pusat hiburan sebelum mangsa ditetak,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Mohd Nordin berkata, empat suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu sudah dikenalpasti dan polis sedang menjalankan risikan untuk menahan mereka.


Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan topi keledar yang terdapat kesan darah ditemui di pusat hiburan terbabit (gambar kecil). FOTO Muhaizan Yahya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 3:00 PM