GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Zanariah Abd Mutalib


JABATAN Imigresen menjalankan pemeriksaan yang lebih ketat terhadap warga Afrika yang berada di negara ini, sama ada di pintu masuk negara atau melalui operasi yang dijalankan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, sejarah perjalanan dan rekod keluar masuk mereka ke Malaysia turut diteliti bagi memastikan mereka tidak terbabit dalam sebarang kegiatan jenayah sebelum ini.

“Bagi warga Nigeria pula, mereka hanya dibenarkan masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) saja,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kebanjiran warga Afrika di negara ini, selain ada antara mereka yang terbabit dalam jenayah.

Terbaru, lelaki Nigeria direman selepas dipercayai menjadi suspek utama dalam pembunuhan ketua jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin.

Khairul Dzaimee berkata, berdasarkan statistik pihaknya, sepanjang 2018 sehingga hari ini, seramai 282 warga Afrika ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Warga Afrika ini masuk ke Malaysia dengan pas pelajar atau pelancong yang sah.

“Bagi mereka yang pasnya sudah tamat tempoh, mereka wajib pulang ke negara asal mereka.

“Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, institusi pengajian tinggi (IPT) bertanggungjawab memastikan pelajar asing yang mengikuti pengajian di institusi mereka hadir ke kelas dan mengikuti semua aktiviti kampus yang diwajibkan.

“IPT berkenaan perlu membuat laporan polis jika pelajar asing menghilangkan diri dan memaklumkan kepada Jabatan Imigresen untuk pembatalan pas pelajar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 5:33 PM