SHAMSHIDA (empat dari kiri) menerima dua kad raya khas kepada KASIH Malaysia) yang disampaikan wakil anak yatim pada majlis menyampaikan sumbangan duit raya dan Kit Kasih di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


SERAMAI 200 anak yatim menyiapkan dua kad raya khas kepada Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri -Isteri Harapan Malaysia (KASIH Malaysia).

Kad berwarna merah jambu dan biru itu berukuran kira-kira satu meter mengandungi pelbagai ucapan hari raya termasuk kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali merangkap Pengerusi KASIH Malaysia.

Ia disampaikan kepada Timbalan Pengerusi KASIH Malaysia, Datin Seri Shamshida Taharin pada majlis penutupan program Tautan Kasih Ramadan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Shamshida berkata, pihaknya terharu dengan penyediaan kad raya khas oleh anak yatim terbabit yang dibuat dalam tempoh singkat.

“Anak yatim yang hadir hari ini menyiapkan kad raya khas kepada KASIH Malaysia bermula 3 petang dalam masa singkat.

“Kad raya ini akan dibawa dan ditunjukkan kepada semua ahli KASIH Malaysia terutama kepada Tun Dr Siti Hasmah merangkap Pengerusi KASIH Malaysia,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan Kit Kasih kepada anak yatim terbabit sebagai persediaan menyambut Aidilftri.

Semua penerima Kit Kasih itu adalah daripada 12 rumah anak yatim sekitar Lembah Klang serta Simpang Renggam, Johor.

Ia mengandungi kuih raya selain peralatan solat seperti sejadah dan kain pelekat.

Program itu turut mendapat kerjasama Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 9:43 PM