MOHD Nazrul dan isterinya bersama Farish yang disahkan menghidap penyakit dalam bahasa saintifiknya Mucopolysaccharidosis type 6 ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chempaka.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


KUANTAN: Masih segar di ingatan Mohd Nazrul Mohamed Saat, 34, dan isterinya Zuraida Baharuddin, 36, pemergian anak sulung mereka Nurul Fatin Nadilla 12 tahun lalu akibat penyakit genetik.

Kini, pasangan itu sekali lagi diuji apabila anak bongsu mereka Muhammad Farish Faiqal, 3, disahkan menghidap penyakit sama atau dalam bahasa saintifiknya Mucopolysaccharidosis type 6.

Zuraida berkata, penyakit yang jarang berlaku terhadap manusia itu sudah menyerang dua anaknya yang mana sebelum ini meragut nyawa Fatin Nadilla yang ketika itu berusia empat tahun.

Katanya, menurut pakar perubatan, penyakit itu akan mendatangkan komplikasi kepada tulang, sendi, jantung, paru-paru, penglihatan, pendengaran dan beberapa organ lain sekiranya tidak menerima rawatan secara konsisten.

“Selepas Farish disahkan menghidap penyakit itu pada usia 10 bulan kami berulang alik ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada setiap Isnin untuk membolehkannya menerima rawatan.

“Kebiasaannya dia akan dirawat antara empat hingga lima jam yang mana ubat akan dimasukkan ke dalam badannya melalui saluran tiub selepas disuntik.

“Farish akan menangis ketika jarum disuntik kepadanya dan selepas itu dia akan tenang berbaring di katil,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Kampung Cempaka di sini.

Zuraida berkata, dia dan suami menghabiskan sekurang-kurangnya RM200 untuk kos perjalanan membawa anak bongsunya itu ke Klinik Genetik di HKL dan akan pulang pada hari yang sama ke Kuantan.

Suri rumah itu memaklumkan, kos rawatan dan ubat anaknya tidak perlu dibayar dan dia hanya perlu ke HKL setiap minggu untuk melakukan proses rawatan.

“Di rumah Farish mengambil dua jenis ubat yang mana satu jenis daripada ubat itu perlu diambil secara konsisten pada pagi dan malam, sementara ubat lagi satu diberikan jika keadaan memerlukan,” katanya.


FARISH mempunyai penyakit yang memberikan komplikasi kepada tulang, sendi, jantung, paru-paru, penglihatan, pendengaran dan beberapa organ lain sekiranya tidak menerima rawatan secara konsisten.

Dengan pendapatan suami yang bekerja sebagai nelayan tidak menentu serta perlu menanggung dua lagi anak mereka iaitu Mohammad Nabil Hakim, 13, dan Nur Aidatul Aiena, 9, dia kini buntu memikirkan nasib kehidupan yang perlu diharunginya kini.

Katanya, pendapatan suami dianggarkan RM30 hingga RM50 sehari dan sekiranya suami tidak turun ke laut pendapatan harian mereka akan terjejas.

Bagi Mohd Nazrul, selaku bapa dan ketua keluarga dia akan melakukan yang terbaik dalam memastikan anak lelakinya mendapat rawatan, sekali gus menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.

“Saya dan isteri tidak sanggup lagi kehilangan anak kami, cukuplah Fatin pergi dulu meninggalkan kami, saya tidak mahu kehilangan Farish.

“Doktor maklum selagi Farish menjalani rawatan dan mengambil ubat dia mampu hidup lebih lama dan bertahan. Sekiranya tidak kesihatannya akan terus merosot,” katanya.

Dia berharap kesusahan dan ujian dihadapi mereka sekeluarga mendapat perhatian pihak berwajib seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Pungutan Zakat Pahang yang sudi menghulurkan bantuan.

Orang ramai yang mahu membuat sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Zuraida Baharuddin (Agrobank - No akaun 2006241000129990).

Mohd Nazrul menganggap apa yang ditempuhi keluarganya hari ini adalah ujian daripada Allah SWT untuk mereka lebih tabah dan yakin ada hikmah di sebaliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 6:00 AM