FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Khalid Latip


HARAPAN penduduk Kampung Jerijeh, di Tanjung Manis, untuk mendapatkan masjid baharu bakal menjadi kenyataan apabila kerajaan Sarawak meluluskan pembinaan masjid itu yang bernilai RM4 juta.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, pembinaan masjid berkenaan akan bermula tidak lama lagi dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun.

Beliau berkata, pembinaan masjid itu dilaksanakan dengan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang dan Parlimen Tanjung Manis.

“Pembinaan masjid baharu itu bakal menjadi simbol pembangunan syiar Islam bagi menggantikan masjid lama yang sudah uzur.

“Masjid baharu itu nanti bukan sahaja berciri moden tetapi dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk kegunaan lebih 1,000 penduduk di sini.

“Projek ini mengakhiri penantian penduduk Kampung Jerijeh sejak sekian lama dan saya amat berharap pembinaannya berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis penyampaian sumbangan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) sempena Aidilfitri kepada golongan asnaf, di Tanjung Manis, semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab; Pegawai Daerah Tanjung Manis, Udin Bujang dan Pengurus Besar PUSAKA, Hashim Bojet.

Seramai 831 orang golongan asnaf dari tiga kampung iaitu Kampung Belawai, Kampung Jerijeh dan Kampung Rajang menerima sumbangan Aidilfitri pada program tanggungjawab sosial korporat PUSAKA itu.

Len berkata, sumbangan itu diharap dimanfaatkan oleh penerima untuk persediaan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Selain sumbangan Aidilfitri, PUSAKA turut mengagihkan sumbangan kepada penduduk Iban dari kawasan Sebayang, Tusok, Stalun dan Semalau yang akan meraikan perayaan Gawai Dayak, bulan depan.

Seramai 356 orang penduduk dari empat kawasan terbabit menerima sumbangan di Pusat Khidmat ADUN Kuala Rajang di Tanjung Manis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 10:34 AM