KAWALAN ketat dibuat ESSCOM sejak Sabtu lalu bagi halang keluar masuk PATI dan penyeludupan barang. FOTO NSTP
KAWALAN ketat dibuat ESSCOM sejak Sabtu lalu bagi halang keluar masuk PATI dan penyeludupan barang. FOTO NSTP
Poliana Ronnie Sidom


KAWASAN Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mempertingkatkan operasi di perairan sempadan bagi mengekang jenayah rentas sempadan khususnya aktiviti keluar masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) menjelang Aidilfitri.

Komander ESSCOM Datuk Hazani Ghazali berkata, operasi diperhebat bermula sejak Sabtu lalu membabitkan kerjasama pelbagai agensi dan pasukan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Selain di perairan sempadan, katanya, pihaknya turut memberi tumpuan terhadap laluan tikus yang dipercayai digunakan penjenayah rentas sempadan untuk membawa masuk PATI secara haram atau penyeludupan barang terlarang pada musim perayaan.

“Dalam usaha perhebatkan operasi, selain kita menambah aset untuk melakukan operasi, kita juga pertingkatkan risikan mengenai aktiviti jenayah rentas sempadan.

“Kita sedar menjelang Aidilfitri, aktiviti keluar masuk PATI ke negara jiran dan penyeludupan barang mungkin meningkat.

“Sehubungan itu, operasi diperhebat sejak Sabtu lalu untuk memastikan negeri ini sentiasa selamat daripada ancaman luar,” katanya.

Hazani berkata, pemeriksaan juga dilakukan bukan saja terhadap setiap bot ketika di tengah laut, malah kapal kumpit yang digunakan untuk aktiviti perdagangan tukar barang atau ‘barter trade’ antara Sabah dengan Filipina dan Indonesia.

Katanya, ia susulan kemungkinan kapal terbabit turut digunakan sebagai pengangkutan oleh PATI untuk aktiviti keluar masuk secara haram ke negeri ini menjelang perayaan Aidilfitri.

“Setiap pengangkutan di laut kita akan periksa untuk pastikan tiada elemen jenayah rentas sempadan.

“Selain memerangi kemasukan PATI dan barang terlarang, usaha ini penting bagi mengekang unsur jenayah yang lain termasuk pencerobohan pengganas dan penculikan,” katanya.

Hazani berkata, selain di sempadan perairan, operasi khas juga dilaksanakan di pusat pemeriksaan daratan di Sapi Nangoh, Beluran dan Kalabakan, Tawau bagi memperketat kawalan di daratan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 11:22 AM