AZMAN menunjukkan pingat yang pernah dimenanginya dengan berlatarbelakangkan rumah sewa didudukinya sekarang. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


DI saat orang lain menghitung detik gembira untuk menyambut kedatangan Aidilfitri, bekas atlet paralimpik negara acara lontar peluru, lempar cakra dan lembing, Azman Mohamed Salleh, 47, berdepan dugaan berat apabila bakal kehilangan tempat berteduh.

Azman berkata, rumah sewa yang didiami sejak tujuh tahun lalu bersama isteri, Siti Faizura Zulkapeli, 31, serta empat anak di Kampung Rhu Tapai, Setiu terpaksa dikosongkan.

Katanya, pemilik rumah sewa terbabit tidak mahu lagi menyewakan rumah itu dan memintanya mencari kediaman baru selewat-lewatnya selepas Aidilfitri nanti.

“Keadaan saya yang mengalami kecacatan fizikal dengan kudung kaki hingga paha disebabkan kes kemalangan langgar lari menyukar saya mendapat kerja tetap dan bergantung kepada motosikal roda tiga untuk bergerak.

“Saya ada membuat kerja sambilan menjadi DJ di majlis kahwin tetapi pendapatan diterima tidak menentu selain bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM400 sebulan serta bantuan zakat tahunan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu.

“Isteri juga tidak dapat bekerja kerana anak bongsu masih kecil dan memerlukan perhatian penuh serta anak ketiga kami berusia 4 tahun pula orang kurang upaya fizikal,” katanya.

Azman sebelum ini bergiat aktif dalam sukan olahraga sejak 2008 dan pernah mewakili negara ke Sukan Para ASEAN serta Sukan Atlit Berkerusi Roda dan Kudung Antarabangsa di Banglore dan Chennai, India pada 2008 dan berjaya mendapat satu pingat emas dan satu perak.

Dia juga pernah menggondol dua emas dan satu perak sewaktu mewakili Terengganu ke Kejohanan PARALIMPIAD di Perlis pada 2014 manakala pada kejohanan sama di Sarawak dua tahun kemudian, dia berjaya mendapat satu emas, satu perak dan satu gangsa.

Menurutnya, dia memohon jasa baik mana-mana agensi dan jabatan terutama berkaitan sukan dan kebajikan atlet agar dapat membantu meringankan beban kewangan dihadapi mereka sekeluarga.

“Kami amat berharap ada pihak dapat membantu kami sekeluarga mendapatkan satu lot tanah dan rumah PPRT di Kampung Rhu Tapai untuk kami sekeluarga berteduh.

“Jika tiada tempat tinggal, kami mungkin terpaksa tidur dalam khemah selepas ini kerana tidak mampu menyewa rumah lain kerana wang bantuan sekadar cukup untuk makan minum anak isteri,” katanya.

Ditanya mengenai persediaan menyambut Aidilfitri, Azman berkata, persiapan raya juga tidak dapat dilakukan dengan lancar seperti tahun sebelumnya kerana terlalu memikirkan masalah yang menimpa mereka sekeluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 3:40 PM