ABDUL Wafi bersama kakaknya Nur Mawaddah.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


KUALA LUMPUR: Berpuasa 18 hingga 19 jam sehari adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan seorang pemuda yang membuat keputusan untuk menjalani rukun Islam ketiga itu di bumi Eropah, baru-baru ini.

Suhu dingin yang mencecah lima darjah Celsius di Scotland antara pengalaman baru Abdul Wafi Shaikh Abdul Rahman, 24, yang pertama kali berpuasa di negara berkenaan.

Menurutnya, tempoh masa berpuasa lebih lama berbanding di Malaysia antara cabaran yang perlu ditempuh ditambah pula keadaan cuaca dingin yang kini lebih lama berbanding sebelum ini.



Katanya, pengembaraan kali ini disertai kakaknya, Nur Mawaddah, 26, yang menetap di Edinburgh kerana bekerja sebagai jurutera perisian bermula dari selatan hingga utara Scotland dengan melawat lokasi bersejarah.

“Berpuasa di Scotland sambil menggembara pengalaman baru kerana saya perlu berpuasa untuk tempoh yang agak lama selain dalam masa sama mengembara bersama kakak ke selatan hingga utara.

“Bagi juadah bersahur dan berbuka, kami akan membeli barangan basah dan keperluan untuk memasak di kedai Muslim sebelum dimasak kerana ia lebih mudah berbanding mencari restoran halal.

“Menu yang dimasak kebiasaannya lebih ringkas seperti ayam masak kicap dan bihun goreng namun adakalanya nasi lemak menjadi pilihan kerana mahu melepaskan rindu terhadap masakan Melayu,” katanya.

Katanya, mungkin tidak ramai yang mahu bercuti sepanjang Ramadan namun baginya ini peluang terbaik untuk menguji kesabaran selain dapat menjelajah dan mendalami budaya masyarakat Islam di luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 5:30 AM