OPERASI mencari dan menyelamat wanita yang hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Pinji berdekatan Sekolah Kebangsaan Pengkalan Pegoh. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


WANITA hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Pinji berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Pegoh, di Ipoh, semalam.

Dalam kejadian 6 petang itu, mangsa berusia 24 tahun dipercayai terbabit kemalangan sebelum terjatuh ke dalam sungai berkenaan dan gagal ditemui.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.24 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba anggota mendapat maklumat seorang wanita lemas di dalam sungai berkenaan selepas terbabit kemalangan sebelum operasi mencari dan menyelamat dijalankan.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih dijalankan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air.

“Operasi diketuai Ketua BBP Pasir Puteh, Mohd Fadzli Che Hussin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 10:00 AM