KEBAKARAN bengkel motosikal di Jalan Batu Kawa, Kuching. FOTO ihsan Bomba
Garret Dawum


KIRA-KIRA 50 motosikal pelbagai jenis musnah dalam kebakaran di bengkel di Jalan Batu Kawa, Kuching, hari ini.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Henderi Ardimansyah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.44 pagi.

“Seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dan BBP Padungan serta dua jentera termasuk dua jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, kami mendapati api sedang marak di tingkat bawah bangunan kedai tiga tingkat itu dan sudah 70 peratus musnah,” katanya ketika dihubungi di Kuching, hari ini.

Henderi berkata, pihaknya mengalami sedikit kesukaran ketika melawan kebakaran kerana terdapat arus elektrik dan berusaha memadamkan kebakaran daripada merebak ke lot bersebelahan.

“Tindakan pantas anggota berjaya mengawal api pada 2.44 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada 4.13 pagi.

“Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadiaan itu. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 11:00 AM