AMIR Zakri (kanan) mengajar seorang remaja Orang Asli mengucap kalimah syahadah di RPS Kuala Betis, semalam. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim
cnew@nstp.com.my


“SAYA sudah dua tahun belajar agama Islam, hari ini (semalam) baru mendapat restu ibu bapa untuk peluk Islam,” kata Sudin Alang, 13, dari Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, Gua Musang.

Dia antara enam remaja lelaki Orang Asli mengucap kalimah syahadah untuk memeluk Islam pada Program Berbuka Puasa Perdana Bersama Masyarakat Orang Asli di Dewan Jubli Perak, RPS Kuala Betis, semalam.

Program anjuran iCare.4U itu dirasmikan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan Amir Zakri Mahmad Mahyeidin.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Kelantan/Terengganu Hashim Alang Abdul Hamid.

Sudin berkata, dia mula mempelajari Islam apabila sering mengikut rakan sebaya ke surau berhampiran rumah.

Katanya, pada mulanya dia hanya mengintai rakannya belajar agama dan perbuatannya disedari guru agama sebelum dipanggil belajar bersama-sama.

“Bermula dari situlah saya hadir ke surau setiap hari tetapi masih takut untuk maklumkan kepada ibu bapa untuk peluk Islam kerana masih bawah umur.

“Hari ini (semalam) baru saya memberanikan diri memaklumkan perkara itu dan mendapat restu mereka berdua.

“Syukur Alhamdulillah, sejuk hati selepas mengucap syahadah,” katanya.

Menurutnya, di bulan Ramadan ini, dia masih dalam proses belajar untuk berpuasa penuh.

“Sebagai permulaan, saya mampu berpuasa separuh hari sahaja dan sedang membiasakan diri untuk berpuasa penuh,” katanya.

Rakannya, Robin Ho Benji, 13, pula berkata, dia bersama lima rakan memeluk Islam selepas setiap hari belajar agama itu di surau berhampiran rumah mereka.

“Kini saya sudah tahu sedikit sebanyak mengerjakan solat dan cara mengambil wuduk.

“Kami juga diajar halal dan haram dalam kehidupan harian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 11:02 AM