HARIANI Mat, 47 bersama sebahagian enam anaknya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi

“APABILA tibanya Aidilfitri, tidak ada baju atau kasut baharu untuk anak-anak kerana apa yang penting, keperluan makan dan minum kami sekeluarga bagi meneruskan kelangsungan hidup,” kata Hariani Mat.

Hariani, 47, berkata, enam anaknya yang berusia enam hingga 20 tahun sudah lima tahun tidak merasa memakai baju baharu setiap tahun disebabkan kekangan kewangan.

Katanya, setiap tahun anak-anak sudah biasa dengan hanya memakai baju raya yang sedia ada atau pemberian baju yang sudah tidak muat dipakai oleh sepupu atau saudara mara yang sebaya dengan mereka.

“Sebagai ibu, saya tahu jauh di sudut hati mereka untuk memiliki walaupun sepasang baju raya baharu, namun anak-anak memahami situasi saya yang berhempas pulas mencari rezeki menyara keluarga kerana suami tidak lagi bekerja akibat penyakit asma.

“Sepanjang Ramadan ini, saya membantu kakak memasak dan menjual lauk pauk di Bazar Ramadan Kubang Kerian dengan upah RM30 sehari,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui dalam Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Alam Flora bersama Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI), di Kampung Kijang, Kota Bharu, baru-baru ini.

KETUA Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd, Datuk Mohd Zain Hassan (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada Hariani Mat (tiga kanan) sambil diperhatikan Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) Azran Fitri Abdul Rahim (kiri) ketika Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Alam Flora bersama Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI), di Kampung Kijang. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd, Datuk Mohd Zain Hassan, menyampaikan sumbangan keperluan barangan harian seperti beras, minyak masak selain kelengkapan lain seperti kipas, rak baju serta wang tunai bagi meringankan beban keluarga ini.

Yang turut hadir, Presiden KEMUDI, Azran Fitri Abdul Rahim dan Timbalan Presiden KEMUDI, Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi.

Akhbar sebelum ini melaporkan, bahagian bawah rumah pusaka milik arwah ibu bapanya Hariani dibina daripada lebihan simen, papan lapis dan kayu buangan yang dikutip menjadikannya sebagai tempat berteduh bersama enam anaknya yang berusia antara enam hingga 20 tahun.

Ketika memasuki ‘istana’ mereka, kepala terpaksa ditunduk kerana bimbang terhantuk di lantai rumah bahagian atas dan rumah yang didiami Hariani hanya ada dua bilik tidur serta ruang dapur yang sangat sempit.

Mengulas lanjut, Hariani berkata, dia amat berterima kasih pihak Alam Flora kerana sudi menjenguk mereka sekeluarga di istana kecil mereka serta menyampaikan sumbangan yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung.

“Anak-anak mesti orang pertama yang bersorak apabila diberitahu Aidilfitri kali ini mereka semua akan memakai baju raya baharu.

“Walau bagaimanapun, hasrat kami sekeluarga untuk beraya dalam rumah yang lebih selesa mungkin belum tercapai kerana kediaman baharu yang akan dibina oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) masih dalam proses,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zain berkata, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk membantu keluarga yang menghadapi kepayahan hidup dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diadakan oleh Alam Flora Sdn Bhd.

Berita berkaitan

Berhimpit bawah rumah

'Alhamdulillah ada yang sudi bina rumah'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 11:09 AM