GAMBAR hiasan
Mohd Hafizee Mohd Arop


MAYAT seorang lelaki ditemui dalam keadaan tidak sempurna dan berulat dipercayai sudah meninggal dunia dalam tempoh masa yang lama di dalam parit di belakang pencawang elektrik di Jalan Gedong, Bidor, semalam.

Mangsa, Liew Chong Meng, 76, yang sebelum ini dilaporkan hilang ditemui jam 2.55 petang selepas operasi mencari dijalankan hasil maklumat penemuan basikal milik mangsa.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, polis dengan bantuan bomba serta orang awam yang menjalankan pencarian berjaya menemui mayat mangsa di dalam parit selepas dipercayai dihanyutkan air.

“Mangsa ditemui dalam keadaan berbaju kemeja petak warna hitam dan putih serta lengkap berseluar tertiarap di dalam parit di belakang pencawang berkenaan.

“Keadaan mayat tidak sempurna dan berulat dipercayai sudah lama meninggal dunia.

“Pemeriksaan ke atas mayat menemui kesan luka di kepala serta kesan terhantuk.

“Turut ditemui kad pengenalan milik mangsa di dalam poket seluarnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wan Azharuddin berkata, semakan mendapati mangsa dilaporkan hilang pada 12 Mei lalu dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk dibedah siasat.

Katanya, kes setakat ini diklasifikasikan mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 11:17 AM