ANGGOTA RELA turut ditempatkan di Bazar Ramadan pekan Ayer Baloi, Pontian bagi melancarkan aliran trafik serta memastikan keselamatan orang ramai. FOTO Togi Marzuki
Togi Marzuki


PENIAGA bazar Ramadan menyifatkan langkah penukaran lokasi tradisi ke tapak baru di Dewan Orang Ramai Ayer Baloi dan Taman Cahaya di Pontian, seperti ditetapkan pengurusan Majlis Daerah Pontian (MDP) tahun ini tidak strategik dan merugikan mereka.

Meskipun perpindahan itu dipersetujui melalui perbincangan bersama persatuan penjaja, namun kedudukan tapak baru itu dilihat gagal meningkatkan hasil jualan seperti yang diharapkan.

Ini kerana dakwa mereka, bazar Ramadan di Taman Cahaya terletak di kawasan pedalaman dan di kawasan taman perumahan.

Lokasi di perkarangan Dewan Orang Ramai Ayer Baloi pula kedudukannya terlindung dengan pagar tembok batu dan hanya mempunyai satu pintu utama untuk kenderaan dan orang ramai keluar masuk.

Atas faktor itu, peniaga mengambil keputusan memilih bahu jalan pekan Ayer Baloi dan bahu Jalan Parit Masjid dalam usaha menambah pendapatan dari hasil jualan juadah untuk berbuka puasa.

Difahamkan pihak MDP tidak membenarkan aktiviti perniagaan di kawasan itu disebabkan faktor kesesakan dan keselamatan, namun atas alasan kurang sambutan tindakan berpindah ke lokasi asal terpaksa dilakukan peniaga demi memastikan makanan terjual.

Peniaga di bazar Ramadan Ayer Baloi, Ismawawi Yayha, 53, berkata, dia hampir putus asa kerana gagal memperoleh hasil jualan seperti diharapkan.

“Sudah hampir seminggu saya berniaga di perkarangan Dewan Ayer Baloi tetapi ia tidak memberi pulangan yang diharapkan.

“Keadaan itu turut dirasai 70 peniaga lain yang masing-masing mengalami nasib yang sama hingga ada yang bermodalkan RM200 cuma dapat pulangan RM15 saja.

“Hasrat peniaga untuk menjual makanan kepada orang ramai di lokasi strategik dan memperoleh pulangan berbaloi dan pada masa sama mampu untuk membayar sewa petak dan pekerja,” katanya yang menjual juadah lauk pauk.

Katanya, dia bersama peniaga lain mengambil pendekatan dengan berkongsi duit dengan mengupah anggota RELA dalam usaha mengawal kesesakan lalu lintas.

Menurutnya, melalui pendekatan itu secara tidak langsung memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya dan pengunjung yang datang dari arah laluan utama iaitu dari Benut ke Pontian.

Seorang lagi peniaga bazar Ramadan di Jalan Parit Masjid, Norizan Arif,40, berkata, dia juga terkesan apabila lokasi bazar baru di tempatkan di Taman Cahaya merugikan.

Katanya, selain lokasinya jauh di pedalaman, taman perumahan itu jarang dilalui oleh pengguna dari luar.

Katanya, dia bersyukur aktiviti perniagaan bersama rakan lain di lokasi asal yang dilakukan sejak 15 tahun lalu mendapat pulangan sekali gus meningkatkan pendapatan keluarga.

“Tidak dinafikan berniaga di bahu jalan menjadi punca kesesakan jalan raya, namun kami bersepakat dengan rakan niaga lain berkongsi bayaran untuk khidmat beberapa anggota RELA,” katanya yang menjual ayam gunting.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 1:13 PM