POLIS berjaya merampas ketulan mampat dadah disyaki ganja dalam satu serbuan di Bandar Sunway pada sidang media, di IPD Subang Jaya. FOTO Owee Ah Chun
Norizuan Shamsuddin


POLIS menahan dua lelaki dan merampas 121.23 kilogram ganja bernilai RM 243,000 hasil serbuan di Bandar Sunway, Subang Jaya, semalam.

Dalam serbuan 9.25 pagi itu, lelaki berusia 28 dan 33 tahun terbabit ditahan oleh sepasukan pegawai serta anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman sewaktu menaiki kenderaan di kawasan parkir pusat beli-belah di Bandar Sunway.

Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, hasil pemeriksaan terhadap kereta Toyota Vios dinaiki suspek menemui 119 ketulan mampat dadah disyaki ganja di tempat duduk penumpang belakang kenderaan terbabit.

“Susulan itu, pihak polis menahan suspek untuk tindakan lanjut dan hasil penahanan suspek, polis turut menyita barangan dianggarkan bernilai RM60,000 termasuk kereta Toyota Vios, motosikal model Yamaha LC 135 dan wang tunai RM1,150.

“Hasil siasatan mendapati, suspek terbabit dalam kegiatan pengedaran sejak tiga bulan lalu dan ganja terbabit diperoleh daripada negara jiran.

“Ganja terbabit disyaki untuk pasaran tempatan sekitar Lembah Klang dan jumlah rampasan itu mampu dibekalkan kepada 242,640 penagih,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Risikin Satiman.

Kamarulzaman berkata, semakan dilakukan terhadap dua suspek terbabit mendapati mereka tidak memiliki rekod jenayah lampau.

“Hasil saringan awal air kencing didapati negatif dadah.

“Dua suspek terbabit kini direman selama tujuh hari sehingga 27 Mei ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 2:19 PM