LIM (tengah) menunjukkan enjin bot yang dilaporkan hilang sebelum ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


SEORANG lelaki kempunan merasai nikmat menaiki bot menggunakan enjin bot curi selepas polis menemui semula enjin itu yang dilaporkan hilang di Bagan Sekinchan, Sekinchan, Mac lalu.

Dalam kejadian jam 11.20 malam, Khamis lalu, sepasukan anggota polis menahan suspek berusia 29 tahun di sebuah jeti di Bagan Sekinchan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, hasil soal siasat mendapati suspek mengaku mencuri sebuah bot bersama enjin bot.

“Suspek kemudian membawa anggota polis ke lokasi dia menyembunyikan enjin bot di sebuah rumah tidak bernombor di Bagan Tengkorak, Tanjong Karang.

“Jarak lokasi kehilangan bot dengan enjin yang ditemui semula dianggarkan kira-kira lapan kilometer,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, hari ini.

Menurutnya, pemilik bot itu tampil membuat laporan polis mengenai kehilangan berkenaan pada 31 Mac lalu.

“Mangsa turun ke laut kira-kira jam 7 pagi sebelum mendapati bot miliknya tiada di jeti. Dia kemudian bertindak membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

“Mangsa bagaimanapun berjaya menemui semula bot itu pada jam 5 petang hari sama di Pantai Parit 4, Tanjong Karang. Namun, enjin bot itu hilang menyebabkan kerugian berjumlah RM11,000,” katanya.

Lim berkata, semakan pihaknya mendapati suspek memiliki dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan ujian saringan air kencingnya turut didapati positif dadah.

“Suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 3:33 PM