Hanneeyzah Bariah Baharin


“SAYA anggap ini ujian Ramadan dan reda walaupun sedih dengan apa yang berlaku pada Syafiq Haiqal,” kata Zainab Mohd, 40, ibu pelajar Tingkatan Satu, Syafiq Haiqal Shaharrudin, 13, yang putus lima jari tangan kanan akibat bermain mercun di Kampung Kubang Ikan, Jertih, Besut, petang semalam.

Pelajar sebuah sekolah menengah di Jertih, Besut, itu selamat menjalani pembedahan selepas memasuki Dewan Bedah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) jam 9 pagi tadi.

Selepas selesai prosedur pembedahan kali pertama itu, anak kedua daripada empat beradik itu diusung keluar daripada dewan bedah untuk ke wad kira-kira jam 1.40 tengah hari.

Zainab yang juga ibu tunggal masih kelihatan sugul dengan kejadian menimpa anak lelakinya itu dan tidak mahu bercakap banyak ketika ditemui media.

“Nak kata apa lagi benda dah berlaku. Reda saja. Hati saya sedih apabila Syafiq Haiqal tak dapat tidur malam tadi dan mengadu tangannya sakit,” katanya ketika ditemui di hadapan Dewan Bedah HSNZ, hari ini.

Beliau turut menerima kunjungan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Shafruddin Ali Hussin.

Zainab berkata, ketika kejadian jam 5.30 petang itu, anaknya dipercayai bermain mercun dengan adiknya, Shahrul, 10, bersama lima sepupu tanpa pengetahuannya dan dia juga tidak mengetahui dari mana Syafiq Haiqal memperoleh mercun itu.

“Kita pun tak tahu dia beli mercun itu atau dapat dari mana. Mengikut cerita dia tak sempat lempar mercun yang dinyalakan menyebabkan mercun meletup di tangan dan menghancurkan semua jarinya.

“Kita dah selalu larang sebab dia selalu juga pergi tengok orang main mercun dan memang dia tak pernah main mercun sebelum ini. Tetapi tak sangka kali ini dia main juga,” katanya.

Dia juga meminta kerjasama semua pihak untuk berhenti menyebarkan gambar tangan anaknya yang hancur akibat kejadian itu bagi menghormati keluarganya yang masih bersedih.

Sementara itu, Shafruddin berkata, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Mohd Jusoh memaklumkan beliau bahawa pihak hospital akan cuba memastikan tangan Syafiq Haiqal boleh digunakan semula.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah beberapa kali memberi peringatan kepada guru besar dan pengetua sekolah untuk mengingatkan murid dan pelajar supaya mengelak bermain mercun.

“Ini peringatan biasa setiap kali Ramadan, tetapi kejadian seumpamanya masih berlaku lagi. Kita ucapkan takziah atas kejadian malang ini dan kita percaya Syafiq Haiqal kuat untuk melalui apa yang berlaku.

“Dalam masa sama kita juga berharap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat menghulurkan bantuan untuk keluarga Syafiq Haiqal memandangkan Puan Zainab juga seorang ibu tunggal,” katanya.

Berita berkaitan

'Alahai anak emak...' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 4:19 PM