NAHSYEEM Ezuan memerlukan pembedahan pemindahan buah pinggang segera untuk pulih. FOTO Malai Rosmah Tuah.
Norasikin Daineh


“KALAU saya boleh gantikan tempatnya, biarlah saya yang didialisis dan ambillah seluruh badan saya ini untuk rawatan,” kata Nur Azurra Fitriana Wong Abdullah, 38.

Luahan itu terbit kerana dia tidak sanggup melihat penderitaan anak lelakinya, Nahsyeem Ezuan Khalid, 9, yang mengalami kegagalan buah pinggang.

Ibu tunggal itu berkata, peluang untuk Nahsyeem sembuh hanya melalui pemindahan buah pinggang daripada penderma yang sesuai untuknya.

Bagaimanapun, katanya, sukar untuk melalui prosedur itu disebabkan kos rawatan tinggi dan dia memerlukan RM30,000 membawa anaknya ke Hospital Kuala Lumpur.

“Wang simpanan semakin menyusut, ditambah pula saya terpaksa mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaga anak.

“Dalam masa sama, kami diberi pilihan sama ada mahu meneruskan rawatan dialisis sepanjang hayat sekiranya tidak menjalani pemindahan buah pinggang, sedangkan prosedur itu bantu anak saya sembuh dan boleh jadi seperti kanak-kanak lain.

“Doktor ada menyarankan ibu bapa sendiri yang mendermakan buah pinggang dan jika saya atau bekas suami punya (buah pinggang) sesuai, kami perlu menjalaninya di Kuala Lumpur.

“Namun apabila memikirkan kosnya, saya jadi buntu. Kini saya giat mencari dana untuk membolehkan anak menjalani prosedur itu,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Sabindo, Kinarut, Papar hari ini.

Wanita itu mengalu-alukan dermawan yang dapat membantunya dengan menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Ambank 8881021722909.

Mengimbas penderitaan anaknya, Nur Azurra berkata, Nahsyeem Ezuan mula mengalami kebocoran buah pinggang ketika dia berusia empat tahun dan keadaannya semakin buruk sehingga menyebabkan kegagalan fungsi kedua-dua buah pinggang itu.

“Dia bergantung kepada ubat untuk bantu sistem imunisasi agar tidak menjejaskan buah pinggang tetapi kini, sudah tidak begitu berkesan hingga perlu menjalani rawatan dialisis bermula Mac lalu.

“Sejak itulah, rutin kami pada setiap Selasa, Khamis dan Sabtu, ke Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas untuk rawatan itu yang mengambil masa empat jam.

“Sejak memulakan dialisis juga dia sudah tidak ke sekolah lagi kerana bahagian leher yang ditempatkan hos tidak boleh terdedah,” katanya.

Dua minggu lalu, kanak-kanak itu selesai menjalani pembedahan kecil di perut kiri untuk meneruskan dialisis Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) dan jika semuanya baik, dia mungkin dapat ke sekolah seperti biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 4:33 PM