Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


POLIS menahan dua daripada tiga lelaki yang disyaki terbabit dalam cubaan menarik kereta wanita di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Jumaat lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kedua-dua suspek terbabit ditahan semalam di sekitar Kuala Lumpur.

“Tangkapan pertama dibuat selepas pemandu trak tunda itu tampil menyerah diri pada 2.20 petang manakala rakannya ditahan di hotel pada 11.50 malam.

“Seorang lagi suspek masih belum ditahan dan kita gesa agar individu terbabit segera menyerah diri,”katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

Terdahulu, media melaporkan seorang wanita hampir menjadi mangsa tiga lelaki yang mendakwa dia tidak membayar ansuran kenderaan miliknya selama 19 bulan.

Rakaman video berhubung kejadian itu turut tular di media sosial, dipercayai dirakam wanita terbabit.

Berita berkaitan:

  • Betul ke nak tarik kereta?
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 7:05 PM