SYAFIQ Haiqal yang putus lima jari tangan kanan akibat bermain mercun. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Hanneeyzah Bariah Baharin


PELAJAR Tingkatan Satu, Syafiq Haiqal Shaharrudin, 13, yang putus lima jari tangan kanan akibat bermain mercun di Kampung Kubang Ikan, Jertih, Besut, petang semalam, menjalani pembedahan amputasi pagi hari ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohd Jusoh berkata, satu pembedahan kecemasan dilakukan bermula 10 pagi di Dewan Bedah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan selesai 11.30 pagi.

“Satu pembedahan kecemasan amputasi di pertengahan lengan bawah terpaksa dilakukan terhadap Syafiq Haiqal bagi menyelamatkannya.

“Ini bermakna sebahagian tangan mangsa terpaksa dipotong dan kita tidak menolak kemungkinan pesakit perlu menggunakan tangan palsu selepas ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, Dr Mohd berkata, mangsa yang juga pelajar sekolah menengah di Jertih itu kini berada dalam keadaan stabil.

Dalam kejadian 5.30 petang semalam, Syafiq Haiqal putus lima jari tangan kanan akibat bermain mercun bersama adiknya, Shahrul, 10, dan lima sepupu di rumah mereka di Kampung Kubang Ikan, Jertih.

Ketika kejadian, ibu mangsa, Zainab Mohd, 40, sedang memasak untuk berbuka puasa sebelum dimaklumkan oleh sepupu Syafiq Haiqal dan mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan.

Mangsa kemudian dirujuk ke HSNZ untuk rawatan lanjut.

Berita berkaitan

'Benda dah berlaku, saya reda'

'Alahai anak emak...' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 10:50 PM