MOHD Norazim menunjukkan beras dijualnya dengan harga lebih murah berbanding harga pasaran.
Noorazura Abdul Rahman


JITRA: Menjalankan perniagaan tidak semestinya hanya perlu memikirkan untuk meraih keuntungan tinggi semata-mata, sebaliknya juga perlu dilakukan untuk mendapat keberkatan.

Itulah inisiatif yang diambil oleh seorang peniaga beras di Jitra apabila dia menjualnya dengan harga lebih murah berbanding harga pasaran untuk membantu golongan kurang berkemampuan.

Peniaga, Mohd Norazim Abd Razak, 33, berkata, dia merealisasikan niatnya itu sejak September tahun lalu selepas mendapat lesen daripada Kawalselia Padi dan Beras negeri serta bekalan daripada PadiBeras Nasional Berhad (BERNAS).

Menurutnya, dengan bantuan pemasaran daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), dia kini membuka sebuah kedai di Jalai Kolej Heights Utara Darul Aman di sini, supaya pengguna boleh terus membeli beras di situ.

“Sasaran pelanggan saya adalah masyarakat luar bandar yang bekerja kampung seperti pesawah dan penoreh getah, saya hanya menjual beras 10 kilogram (kg) dengan harga RM22 berbanding harga pasaran RM26.

“Walaupun keuntungan yang saya peroleh sedikit tetapi saya rasa puas apabila melihat golongan kurang berkemampuan datang membeli di sini, dengan cara inilah saya dapat berkongsi rezeki kepada orang miskin,” katanya.

Mohd Norazim berkata, pada mulanya dia hanya mampu menjual sekitar lima tan beras dalam tempoh sebulan tetapi selepas tiga bulan menjalankan perniagaan, jualannya kini sudah mencecah antara 20 hingga 30 tan sebulan.

Katanya, dia kini membuka sebuah cawangan di Kuala Nerang bagi memastikan jualan beras itu sampai kepada golongan sasar.

“Tujuan saya berniaga bukan untuk memberi persaingan kepada peniaga beras yang lain, saya mempunyai golongan sasar saya sendiri, kerana itulah saya berniaga di kawasan luar bandar sahaja.

“Pada tahun ini, saya sasarkan untuk membuka enam lagi cawangan di daerah luar bandar, malah peruncit juga boleh mendapatkan beras daripada saya tetapi mereka juga perlu ingat tujuan asal perniagaan saya,” katanya.

Ketika ditanya mengenai jualan pada Ramadan, Mohd Norazim mengakui jualannya merosot pada minggu pertama berpuasa tetapi ia kembali meningkat apabila orang perseorangan dan syarikat swasta membeli beras di situ bagi tujuan zakat fitrah dan memberi sumbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 6:30 AM