Raja Noraina Raja Rahim


SEBUAH restoran di Kampung Baru Rahang, Seremban diarah tutup dua minggu oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, premis berkenaan diarah tutup berikutan tahap kebersihan kurang memuaskan.

Menurutnya, JKNS menerima aduan awam sebelum pegawai pejabat kesihatan daerah Seremban ke lokasi menjalankan pemeriksaan pada 2.10 petang semalam.

“Pemeriksaan mendapati keadaan lantai dan dinding premis kotor, bahan mentah yang lama dibiarkan dalam peti ais dan terdapat penggunaan kotak telur di dalam premis.

“Tong sampah tidak ditutup sehingga mengundang kehadiran lalat. Perangkap sisa makanan juga tidak disediakan dan air limbah dilepaskan terus ke longkang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Veerapan berkata, pemeriksaan mendapati pengendali makanan di restoran itu tidak memakai apron, penutup kepala dan kasut selain tidak mengambil suntikan anti tifoid serta kursus latihan pengendali makanan.

Justeru itu, beliau berkata, pihaknya mengeluarkan notis penutupan selama 14 hari bermula semalam sehingga 3 Jun ini mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

“Pemilik premis juga diarahkan mematuhi arahan penambahbaikan dan menjalankan kerja pembersihan sepanjang tempoh penutupan itu,” katanya.

Katanya, aktiviti pendidikan kesihatan dan nasihat diberikan kepada pengendali makanan di premis itu untuk meningkatkan tahap kebersihan dan mengamalkan amalan pengendalian makanan yang baik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 10:45 AM