LELAKI warga Myanmar berusia 18, diberkas polis ketika cubaan memecah masuk sebuah rumah teres di Jalan Kapar, Kampung Sementa. FOTO Ihsan Pembaca
Siraj Mohd Zaini


SIKAP ‘tidak putus asa’ penjenayah yang mahu memecah masuk sebuah rumah sebanyak dua kali mengundang padah apabila dia diberkas polis, semalam.

Difahamkan, suspek lelaki warga Myanmar berusia 18 tahun pertama kali cuba memecah masuk sebuah rumah teres di Jalan Kapar, Kampung Sementa, di Klang, pada 4.30 pagi kelmarin.

Tindakan itu dilihat jiran di sebelah rumah yang juga adik ipar mangsa ketika sedang bersahur dan usaha menangkapnya gagal.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, suspek sekali lagi dilihat di rumah berkenaan kira-kira 1 pagi semalam ketika cuba memecah masuk kediaman itu buat kali kedua.

“Adik ipar mangsa bersama penduduk kemudiannya berusaha menangkap suspek yang ingin melarikan diri.

“Suspek bagaimanapun berjaya ditangkap ketika berjalan seorang diri dalam keadaan mencurigakan oleh penduduk yang kemudiannya menyerahkan kepada pihak polis,” katanya kepada Harian Metro.

Nurulhuda berkata, siasatan lanjut mendapati suspek mengaku cuba memecah masuk kediaman berkenaan sebanyak dua kali.

Katanya, suspek yang bekerja sebagai pembantu di syarikat perunding perkahwinan itu juga tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan masuk yang sah ke negara ini.

“Selain itu, suspek juga tidak fasih berbahasa Malaysia dan kini direman selama 14 hari sehingga 3 Jun ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 12:50 PM