Laporan portal berita Harian Metro mengenai kebakaran di Bazar Masjid India
Mohamad Hussin


PERSATUAN Peniaga Kecil Bumiputera Wilayah Persekutuan cawangan Masjid India tetap dengan keputusan tidak mahu berpindah ke kawasan lain kerana ia boleh ‘membunuh’ sumber pendapatan peniaga terbabit.

Ketuanya, Mek Zainab Man berkata, pihaknya merayu kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya membersihkan kawasan itu secepat mungkin bagi membolehkan peniaga menjalankan perniagaan seperti biasa.

Beliau berkata, kawasan bazar Melayu Masjid India itu sudah menjadi lokasi strategik dan pusat tumpuan orang ramai untuk mendapatkan pakaian dan kelengkapan menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

“Lebih 150 peniaga bazar di sini tetap dengan keputusan dan tidak mahu berganjak ke tempat lain kerana sudah lama berniaga.

“Kebanyakan pelanggan sudah mengenali tempat itu dan datang setiap tahun apabila tiba musim perayaan.

“Saya sendiri pergi dari gerai ke gerai untuk bertanyakan peniaga sama ada mereka mahu berpindah sementara ke tempat lain atau tidak.

“Rata-rata peniaga tidak mahu berpindah dan akan tetap berniaga di situ walaupun DBKL masih belum membersihkan kawasan itu,” katanya yang ditemui di Kuala Lumpur hari ini.

Mek Zainab berkata, dia meminta peniaga yang terbabit dalam kebakaran supaya bersabar dan bertenang kerana pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian.

“Kira-kira 30 peniaga yang terbabit dalam kejadian itu tidak sabar berniaga semula kerana Aidilfitri tiba tidak lama lagi.

“Kebanyakan mereka memerlukan modal pusingan kerana banyak barangan jualan musnah dalam kebakaran.

“Sudah tentu, mereka mahu buka kedai semula dan berniaga seperti biasa kerana tidak mahu menanggung kerugian.

“Mereka mahu DBKL bertimbang rasa dalam hal ini dan meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) itu supaya memasang kanopi dan besi penghadang gerai secepat mungkin,” katanya.

Menurutnya, mereka sanggup mengeluarkan modal sendiri untuk berniaga semula asalkan DBKL tidak memindahkan mereka ke kawasan lain.

“Kita memang tidak bersetuju dengan cadangan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan yang mahu memindahkan kami di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) 3 atau di Lorong TAR 5 kerana kawasan itu bukan kawasan tumpuan,” katanya.

Dalam kejadian 1.30 pagi semalam, gerai 30 penjaja Bazar Melayu Masjid India musnah dalam kebakaran dan kebanyakan mereka baru saja memenuhkan bekalan barangan di premis masing-masing untuk dijual sempena dua minggu terakhir Ramadan.

Berita berkaitan

Penjaja malang

'Terus nak pitam, lemah semangat' - Peniaga

‘Ingatkan asap vape...’

30 gerai di Masjid India musnah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 4:14 PM