Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my


LELAKI diberkas polis selepas dia cuba menyebar gambar lucah bekas teman wanitanya dengan menaikkan foto mangsa ke status WhatsApp.

Suspek berusia 26 tahun itu ditahan berhampiran sebuah pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Gelugor, Bukit Mertajam, semalam selepas bekas teman wanitanya membuat laporan polis dua hari sebelum itu.

Difahamkan, suspek menggunakan nombor telefon lama bekas teman wanitanya itu untuk mendaftar WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, mangsa yang berusia 18 tahun menyedari gambarnya yang tidak berbaju ditunjukkan rakan sekerja.

“Mangsa terkejut melihat gambarnya tidak berbaju dinaikkan dalam status WhatsApp yang menggunakan nombor telefon lama miliknya.

“Dia kemudian teringat bekas teman lelaki yang menggunakan nombor telefon lamanya itu untuk mendaftar WhatsApp dan terus membuat laporan polis,” katanya.

Menurutnya, polis berjaya menahan suspek serta merampas sebuah telefon bimbit dan dua sim kad.

“Suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kita ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan kemudahan media sosial dengan melakukan perbuatan jenayah yang akhirnya mengundang padah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 5:24 PM