Dua mangsa tersangkut di tiang pencawang dipercayai terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja penyelenggaraan kabel. FOTO Junaidi Ladjana
Junaidi Ladjana


DUA pekerja kontraktor Electricity Sdn Bhd (SESB) melecur akibat terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja penyelenggaraan kabel di tepi jalan di Jalan Putatan - Lok Kawi, Penampang hari ini.

Dalam kejadian 4 petang itu, kedua-dua mangsa berusia lingkungan 30-an melecur di beberapa anggota badan termasuk tangan dan muka.

Difahamkan, ketika kejadian mereka sedang menjalankan kerja penyelenggaraan di salah satu tiang pencawang sebelum berlaku renjatan elektrik.

Susulan itu, dua mangsa yang berada di atas tiang terkena renjatan.

Beberapa rakan sekerja mangsa kemudian segera membantu membawa turun mereka.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan ada menerima panggilan daripada orang awam dan siasatan lanjut melawat mangsa di hospital untuk mengetahui keadaan mereka.

“Kedua-duanya sudah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut menggunakan ambulans dan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya.

Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang turut berada di lokasi kejadian bagi membantu memberi rawatan awal kepada mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 6:14 PM