DR MAHATHIR bersama Khalid pada Majlis Berbuka Puasa Tahunan Ke-9 Bersama Masyarakat Palestin. FOTO Luqman Hakim Zubir
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


KERAJAAN hari ini bersetuju menawarkan biasiswa RM11.4 juta kepada penuntut Palestin untuk melanjutkan pengajian di 12 universiti awam dan tempatan di negara ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, biasiswa berkenaan akan diagihkan menerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM).

Beliau berkata, pengajian yang ditawarkan adalah di peringkat ijazah sarjana muda, ijazah sarjana, doktor falsafah, masing-masing di 12 universiti terkemuka negara.

Katanya, universiti itu antaranya AlBukhary International University, Management and Science University (MSU), Universiti Mahsa, Kolej Universiti Islam Perlis, City University, Universiti Multimedia (MMU), Universiti UCSI, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Universiti Sunway, Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Saya ucapkan tahniah kepada pelajar Palestin yang terpilih menerima biasiswa berkenaan,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa anjuran PCOM bersama komuniti Palestin di sini, hari ini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan bekas Pengerusi Hamas Khalid Mishal.


ANTARA rakyat Palestin yang hadir pada Majlis Berbuka Puasa Tahunan Ke-9 Bersama Masyarakat Palestin. FOTO Luqman Hakim Zubir

Dr Mahathir berkata, beliau juga gembira dengan peranan dimainkan PCOM yang komited dalam menyokong pembebasan Palestin, termasuk membina persefahaman budaya antara Malaysia dan Palestin.

“Hari ini, PCOM memainkan peranan penting dalam membina persefahaman budaya antara Palestin dan Malaysia, meningkatkan kesedaran tentang isu Palestin dan menggerakkan politik sokongan terhadap hak Palestin.

“Kerjasama ini adalah bukti kesatuan yang dikongsi antara rakyat Malaysia dan Palestin,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata, Malaysia kekal teguh bagi menyatakan sokongan kepada Palestin dan terus mengutuk tindakan zalim Israel terhadap rakyat Palestin.

Katanya, Israel berterusan melanggar undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia yang mana penempatan haram Israel dibina setiap hari dan rakyat Palestin dinafikan hak mereka daripada memasuki tanah mereka sendiri.

“Bagi mencapai kedamaian, masyarakat antarabangsa perlu mencari penyelesaian bagi penempatan semula rakyat Palestin di tanah mereka yang dirampas secara tidak sah oleh Israel.

“Ini sekali gus mampu menamatkan tindakan pembunuhan besar-besaran tentera Israel dan pendudukan Israel di tanah Palestin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 8:46 PM