GELANDANGAN menyertai solat tarawih anjuran beberapa NGO di Jalan Tuanku Abdul Rahman. FOTO Yusmizal Dolah Aling
Yusmizal Dolah Aling


RUANG tepi jalan di Lorong Tuanku Abdul Rahman 12, Kuala Lumpur, yang biasanya sesak setiap malam bertukar sunyi dan bergema dengan bacaan surah lazim apabila golongan gelandangan bertarawih di situ.

Ia inisiatif beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam bersama gelandangan di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Chow Kit dalam usaha menyemarakkan amal ibadah di bulan Ramadan bersama golongan tidak bernasib baik.

Dalam keadaan daif, sekumpulan remaja dan orang dewasa tekun mendengar tazkirah yang diberikan aktivis agama selain meluahkan apa yang terbuku di hati mereka sejak beberapa tahun lalu iaitu ingin menunaikan solat berjemaah.

Ia menimbulkan suasana hiba ketika mereka diajak untuk bertarawih bersama malah mengundang rasa insaf kepada semua sukarelawan bertugas.

Hajat beberapa gelandangan tertunai apabila mereka bersama-sama bersolat tarawih diimamkan aktivis Persatuan Mahasiswa Darul Quran Mujahid Yusup.

Mujahid berkata, dia bersama gabungan NGO lain seperti Persatuan Pencinta Muslim Sedunia, Pusat Pengajian Al Zikri, Briged Negaraku dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) mengaktifkan program agama untuk gelandangan hampir dua tahun lalu untuk memastikan mereka mempunyai asas agama.

"Sebelum ini kita sudah ada program Iqra Jalanan dan untuk bulan puasa ini kita menerima permintaan gelandangan untuk bersolat tarawih berjemaah di lokasi program. Ruang yang ada ini juga selalu digunakan pendakwah seperti Ebit Liew dan lain-lain.

"Biarpun diadakan di tepi jalan, ia begitu bermakna kepada mereka. Jika kita bersolat di masjid dan surau berhampiran rumah kita, mereka bersolat di sini kerana inilah lokasi mereka tidur. “Bayangkan bagaimana mereka dapat belajar agama jika tidak ada yang membuka ruang begini," katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Naib Presiden Briged Negaraku, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya menyediakan kemudahan pemeriksaan kesihatan percuma pada minggu ketiga setiap bulan untuk membantu golongan jalanan terbabit.

Katanya, pihaknya juga mendapatkan khidmat sukarelawan yang ditugaskan membantu pasukan MEDICS Briged Negaraku terdiri daripada doktor perubatan dan pergigian.

"Alhamdulillah, daripada pemeriksaan itu, dapatlah kita bantu mana yang patut kerana kita bimbang mereka ini dijangkiti penyakit kronik. Sambutan juga menggalakkan setiap bulan dan kita harap dapat melakukan yang terbaik untuk mereka, Insya-Allah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 10:00 PM