AHMAD Safuan dibantu isteri Siti Nuraisya menyediakan nasi ayam Hainan yang ditempah pelanggan. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


DEMI merebut pahala berganda semasa Ramadan, peniaga nasi ayam Hainan di Alor Setar menjual makanan itu dengan harga RM2.90 sebungkus bagi menarik minat pelanggan menginfak nasi ayam itu kepada golongan memerlukan semasa berbuka.

Ahmad Safuan Ahmad Sabri, 29, berkata, idea itu tercetus selepas dia terbaca artikel di media sosial mengenai kelebihan memberi makan kepada orang berbuka puasa.

Katanya, dia dan isteri Siti Nuraisya Masuri, 29, kemudiannya berbincang mengenai perkara itu dan mula menjual nasi ayam dengan harga RM2.90 daripada harga biasa RM4 sebungkus pada hari ketiga Ramadan.

“Saya mula mempromosi niat saya itu di media sosial, tak sangka sambutannya sangat menggalakkan, ramai rupanya memasang niat seperti saya, tempahan saya ambil bermula daripada 30 bungkus dan saya menyediakan penghantaran percuma di sekitar Alor Setar.

“Selalunya pelanggan meminta saya menghantar nasi ayam itu ke rumah anak yatim, pusat tahfiz dan masjid. Bagi pelanggan yang tidak tahu untuk infak makanan itu ke mana, saya akan membantu memberikan cadangan kepada mereka dengan kerjasama kenalan yang juga guru agama,” katanya yang menjalankan perniagaan di Jalan Kuala Kedah di Alor Setar.


AHMAD Safuan menunjukkan nasi ayam Hainan yang dijual dengan harga RM2.90 bagi tujuan infak. FOTO Noorazura Abdul Rahman

Ketika ditanya mengenai kadar keuntungan yang diperoleh, Ahmad Safuan mengakui jumlah keuntungan bagi sebungkus nasi ayam itu sangat sedikit, namun apabila tempahan diterima sekali ganda lebih banyak, dia mendapat keuntungan yang sama seperti hari biasa.

Katanya, pada kebiasaan dia akan menjual kira-kira 250 bungkus nasi ayam tetapi menerusi projek infak, dia menerima tempahan antara 500 hingga 600 bungkus sehari.

“Selalunya saya akan guna 20 ayam sehari tapi semasa Ramadan ia meningkat antara 40 hingga 50 ekor, bagi pelanggan yang beli untuk makan sendiri, harganya seperti biasa RM4.

“Untuk tujuan infak, saya masih memotong ayam dengan saiz yang sama termasuklah nasi yang sama banyak dengan harga RM4, tidak ada yang kurang, untuk bersedekah kita perlu beri yang terbaik kepada orang, Alhamdulillah niat saya dipermudahkan Allah,” katanya yang mula berniaga nasi ayam sejak sembilan tahun lalu.

Sementara itu, seorang pelanggan tetap, A Karim Ahmad, 41, memuji inisiatif yang diambil oleh Ahmad Safuan.

Katanya peniaga lain patut mencontohi usaha yang dilakukan pemuda itu bagi sama-sama berkongsi rezeki dan pahala di bulan mulia ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 11:46 PM