MOHAMAD Khairul Haziq Abdul Hadi, 5, mencium tangan Pengarah PERKESO Terengganu, Farihah Che Husin (tengah) selepas menerima duit raya pada Majlis Iftar Ramadhan di Wisma PERKESO. FOTO Zaid Salim


“KALAU rindu ayah dan ibu, saya ajak abah dan mama pergi kubur sedekah al-Fatihah,” kata Muhammad Khairul Haziq.

Muhammad Khairul Haziq, 5, dijadikan anak angkat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Terengganu selepas ibu, bapa serta adiknya maut dalam kemalangan jalan raya pada 9 Februari lalu.

Katanya, sejak kejadian itu, dia sentiasa merindui arwah ibu bapanya dan sering mengajak ibu bapa angkat yang dipanggil abah dan mama ke kubur.

“Setiap kali teringat mereka, saya ke kubur mereka,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Ramadan PERKESO, di Kuala Terengganu, semalam.

Ketika ditanya mengenai persiapan Aidilfitri, katanya, segala persiapan termasuk pakaian raya sudah disediakan ibu bapa angkatnya, Norjannah Jaafar, 29, dan Fathul Mubeen Zakaria, 30.

“Saya sudah ada 10 pasang baju raya dan pada pagi hari raya nanti, saya akan ke pusara ibu dan ayah untuk mengucapkan selamat hari raya dan memohon maaf kepada mereka,” katanya.

Selain Muhammad Khairul Haziq, seramai 24 penerima lain turut diraikan PERKESO Terengganu pada majlis yang turut dihadiri Pengarah PERKESO, Farihah Che Husin dan kakitangan PERKESO Terengganu.

Sementara itu, Farihah berkata, pihaknya turut menyampaikan Faedah Pengurusan Mayat dan Faedah Hilang Upaya Kekal kepada penerima baru yang ditimpa musibah.

“Kami berharap faedah yang diterima ini dapat meringankan beban selain membantu penerima membuat persiapan bagi menyambut Aidilfitri,” katanya.

Farihah berkata, Muhammad Khairul Haziq menerima pencen penakat sebanyak RM298 setiap bulan sehingga mencapai usia 21 tahun dan berharap ia dapat meringankan beban ibu bapa angkatnya selain kegunaan untuk masa depannya.

Katanya, sebanyak RM6,057,191.81 membabitkan pelbagai faedah sudah dibayar kepada pencarum dan waris pencarum di seluruh negeri ini dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Muhammad Khairul Haziq satu-satunya mangsa yang terselamat dalam kemalangan yang mengorbankan lima sekeluarga termasuk bayi perempuan berusia sembilan bulan di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit, Kuala Nerus.

Dalam kemalangan 2.50 pagi itu, bapa Muhammad Khairul Haziq, Mohd Kharulinzam Jusoh,38; ibunya, Nur Syaazlien Syarizam Salleh, 21 serta adik, Nur Khaira Aisyah meninggal dunia.

Turut terkorban, adik dan ibu kepada Nur Syaazlien, Muhammad Nashrullah, 5, dan Rozilawati [email protected], 43.

Berita berkaitan

Ajal lima sekeluarga

Kenangan terakhir [METROTV]

'Arwah teruja sepanjang berkonvoi'

Air mata iringi pengebumian 5 sekeluarga [METROTV]

Haziq mengigau panggil ayah

Haziq kini anak angkat PERKESO

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 8:52 AM