Dadah yang dirampas daripada empat lelaki dalam serbuan polis semalam. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


EMPAT lelaki termasuk seorang warga Indonesia dan dua tukang masak warga Thailand diberkas polis berikutan terbabit aktiviti pengedaran dadah di Port Dickson semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mereka yang berusia 24 hingga 34 tahun ditahan menerusi Op Sarang bermula 1 hingga 7 pagi.

Katanya, dalam serbuan pertama di Taman Grenview, Pasir Panjang polis menahan lelaki tempatan berusia 34 tahun kerana memiliki 15.1 gram (g) heroin.

“Dalam serbuan di rumah itu, polis menemui sepaket plastik mengandungi heroin dalam sebuah bilik.

“Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan memiliki 14 rekod lampau berkaitan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam operasi kedua katanya, polis menahan seorang lelaki Indonesia dan dua lelaki Thailand di sebuah premis di Jalan Pantai pada 7 pagi.

Katanya, pemeriksaan dalam sebuah bilik menemui 17 paket plastik mengandungi syabu 5.68 g.

“Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson dan ujian air kencing mendapati semua positif dadah. “Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 15 (1) (a) dan Seksyen 39A (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 10:33 AM