KERETA rasmi Mufti Perlis rosak selepas dibakar di kediamannya di Persiaran Wawasan, Kangar, 22 Mac lalu. FOTO ihsan PDRM
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


POLIS mengesahkan suspek utama kes bakar kereta rasmi Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada Mac lalu yang dikenali sebagai Zaini sudah ditahan kelmarin.

Ketua Polis Perlis Datuk Noor Mushar Mohd berkata, seorang lagi suspek yang dikenali sebagai Mie Tomoi masih diburu pihaknya.

Katanya, hasil siasatan mendapati Mie Tomoi bersama Zaini turut terbabit dalam kejadian mencederakan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) Dr Hazman Hassan, September tahun lalu.

“Jumlah tangkapan pihak polis kini adalah seramai lima orang dan kesemua mereka masih direman sehingga esok.

“Jadi sekarang ini pihak polis masih memburu Mie Tomoi dan yakin dia akan diberkas tidak lama lagi.

“Setakat ini hasil siasatan terperinci mendapati Zaini adalah suspek utama dalam kes bakar kereta Mohd Asri dan mencederakan Hazman. Dia yang bertanggungjawab dengan membayar upah kepada Mie Tomoi dalam dua kejadian berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan polis berjaya menahan seorang penganggur berusia 36 tahun dan memburu empat suspek yang terbabit dalam kejadian bakar kereta rasmi Mohd Asri di kediamannya, 22 Mac lalu.

Dalam kejadian itu, kereta Honda Accord terbabit dibakar pada bahagian bonet selain cermin hadapan turut dipecahkan dipercayai perbuatan khianat oleh pihak tertentu.

Kejadian itu disedari ahli keluarganya ketika mereka sedang melakukan persiapan untuk solat Subuh pada jam 6.05 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 11:16 AM