Mahkamah Majistret Sepang menjatuhkan hukuman denda RM12,000 ke atas warga Lithuania hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


PERUNDING pembinaan di London yang juga warga Lithuania didenda RM12,000 selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan iaitu melakukan ugutan jenayah dan mengeluarkan kata-kata kesat ke atas kru penerbangan Oman Air, pada 19 Mei lalu.

Tertuduh, Petronis Augustinas, 33, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret A Akhiruddin@Boy Acho di Mahkamah Majistret Sepang hari ini.

A Akhiruddin menetapkan tertuduh dikehendaki membayar denda RM6,000 bagi setiap pertuduhan dan penjara enam bulan jika gagal bayar denda.

Bagaimanapun, tertuduh membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan niat hendak menyebabkan kematian ke atas kru penerbangan, Amal Sfaxi dalam pesawat Oman Air dari Muscat, Oman ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5.30 pagi Ahad lalu.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengeluarkan kata-kata kesat atau menghina kepada kru penerbangan sama pada tarikh dan waktu sama.

Bagi pertuduhan itu, kes disiasat mengikut Peraturan 102, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 206 (2)(A) Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya

Nasharina Nazlan manakala tertuduh diwakili peguam, Zaflee Pakwanteh.

Zaffle ketika ditemui berkata, anak guamnya kali pertama datang ke Malaysia untuk bercuti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 12:56 PM