Nur Saliawati Salberi


BALASAN merogol anak kandung sendiri, bapa lapan anak dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh, hari ini.

Hakim Elesabet Paya Wan memutuskan hukuman itu selepas tertuduh berusia 45 tahun mengaku bersalah sebaik semua tiga pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Mahkamah memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 17 Mei lalu, sementara hukuman sebat itu adalah jumlah maksimum yang dibenarkan mengikut Seksyen 288 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) ke atas pesalah dewasa.

Mengikut pertuduhan berkenaan, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu jualan didakwa merogol anak perempuannya yang berusia 16 tahun lapan bulan pada 27 Februari, 22 Mac dan 21 April 2019 antara jam 2 hingga 2.30 pagi di rumah mereka di Taman Bukit Larang Indah, Melaka.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan 10 sebatan jika sabit kesalahan.


TERTUDUH dibawa keluar selepas dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 24 sebatan. FOTO Rasul Azli Samad.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Lee Wai Yee yang mengendalikan pendakwaan memohon hukuman berat dikenakan ke atas tertuduh, mengambil kira mangsa adalah anak kandung dan remaja itu kini trauma.

Katanya, perbuatan itu hanya terbongkar selepas guru mangsa menyedari terdapat kesan kelar di pergelangan tangan pelajarnya.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan sudah insaf, selain masih perlu menyara lapan anak termasuk OKU.

Mengikut fakta kes, mangsa dikatakan sering diminta tidur di dalam bilik bapanya dan

tertuduh dikatakan akan menghisap dadah terlebih dahulu sebelum merogol mangsa.

Mangsa mengalami tekanan dan pernah mencuba membunuh diri sebelum tindakan itu disedari gurunya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 1:26 PM