PEMBAZIRAN yang berlaku akibat lambakan makanan sedekah untuk gelandangan. FOTO Facebook Syed Azmi
Rizanizam Abdul Hamid


‘SEBELUM nak sedekah juadah kepada gelandangan, dapatkan maklumat kerana jika tidak, semakin banyaklah pembaziran berlaku,” kata aktivis sosial, Syed Azmi Alhabshi.

Beliau memberi reaksi demikian ketika mengulas penularan gambar puluhan bekas makanan berisi juadah berbuka puasa untuk golongan gelandangan yang terbuang begitu sahaja yang dikongsi laman sosial Facebooknya kelmarin.

Menurutnya, gambar itu dirakam seorang daripada ahli kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) yang menyertai tinjauan gelandangan kira-kira dua minggu lalu sebelum ia tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

“Gambar dirakam Nordina Haron seperti yang tersebar itu adalah antara situasi pembaziran paling menyedihkan yang berlaku hampir setiap malam pada bulan Ramadan.

“Ia dirakamkan di kawasan Chow Kit dan ini sepatutnya membuka mata penyumbang apakah yang patut mereka lakukan untuk mengelakkan pembaziran sebegitu rupa,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurut Syed Azmi, rakyat Malaysia sememangnya terkenal dengan sifat pemurah terutamanya untuk berkongsi makanan pada bulan puasa.

“Sebab itu saya kata, bab makan pada bulan puasa jangan susah kerana gelandangan di Kuala Lumpur memang tak akan kelaparan.

“Cuma masalahnya, bila bagi makan ianya sampai berlebihan pula sampai kadang-kadang gelandangan ini seolah-olah penagih bantuan makanan,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan tahun lalu, terdapat kira-kira 700 gelandangan di 13 lokasi panas sekitar di ibu negara.

“Mereka ini adalah yang tidur di kaki lima bangunan sekitar 4 pagi, menunjukkan memang tiada rumah dan bukannya sekadar duduk bersila di kaki lima pada waktu tertentu menunggu bantuan.

“Bayangkan kalau ada 10 ke 13 kumpulan sedekah juadah berbuka puasa, satu kumpulan bagi 100 bungkus makanan, satu malam dah jadi 1,300 bungkus yang sebahagiannya mungkin terbuang begitu sahaja,” katanya.

Tambahnya, cara terbaik untuk bersedekah adalah dengan penyumbang membuat sedikit tinjauan untuk mengumpulkan maklumat lokasi manakah yang tidak mendapat bantuan selain di 13 lokasi panas berkenaan.

“Sebenarnya tumpuan bukan sahaja untuk gelandangan, tapi ada juga orang susah di surau-surau, universiti dan kawasan-kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Kita kena ubah tanggapan beri bantuan mesti untuk gelandangan supaya golongan itu tidak dilabel sebagai penagih bantuan pula,” katanya.

Syed Azmi berkata, penyumbang yang ingin mendapatkan maklumat mengenai jadual pengagihan makanan kepada golongan gelandangan boleh melihat kepada empat papan tanda yang dipasang di lokasi seperti Kolej Segi, Masjid Negara, Arka Ria/CIMB Jalan Tuanku Abdul Rahman dan berhampiran Bangkok Bank.

“Di papan notis pemberitahuan itu ada tertera nombor telefon pejabat untuk dihubungi bagi tujuan penyelarasan dari mana-mana NGO, persendirian atau korporat untuk mengagihkan makanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 3:32 PM