AHMAD Zahid. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

MAHKAMAH Persekutuan, hari ini, menolak rayuan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan pasportnya daripada mahkamah untuk mengerjakan umrah.

Panel lima hakim diketuai oleh Hakim Tan Sri Azahar Mohamed sebulat suara menolak rayuan Ahmad Zahid yang menghadapi 47 tuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan rasuah.

Ahli panel hakim yang lain ialah Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, Tan Sri Idrus Harun dan Datuk P Nallini.

Ketika menyampaikan keputusan itu, Hakim Azahar berkata, panel mendapati Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah memutuskan dengan cukup dan bijak dan mengambil kira semua faktor yang relevan dalam menolak permohonan Ahmad Zahid.

Katanya, mereka juga mendapati hakim Mahkamah Tinggi sudah memberi alasan mengapa beliau tidak menggunakan budi bicara dalam menyokong permohonan perayu (Ahmad Zahid).

“Hakim mahkamah tinggi sudah mempertimbangkan bahawa Ahmad Zahid menghadapi tuduhan serius dan banyak dan pembatalan permohonannya dibuat untuk mencegah terjadinya pelanggaran terhadap peraturan jaminan.

“Kami mendapati bahawa tiada sebab yang sahih untuk kami mengganggu keputusan Hakim Mahkamah Tinggi. Justeru, kami menolak rayuan ini dan mengekalkan keputusan mahkamah Tinggi,” katanya,

Ahmad Zahid tidak hadir di mahkamah kerana ke Pekan bagi menghadiri upacara pengebumian Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, yang mangkat semalam.

Panel itu membuat keputusan tersebut setelah mendengar hujah daripada peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid dan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 14 Mei tahun ini yang menolak rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 3 Mei tahun ini, yang menolak permohonannya untuk memulangkan pasportnya sementara untuk mengerjakan umrah.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember tahun lalu, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah terhadap 46 pertuduhan, yang terdiri daripada 11 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berjuta-juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Pada 20 Februari tahun ini, beliau dituduh pecah amanah yang membabitkan RM260,000 milik Yayasan Akalbudi.

Mahkamah Tinggi menetapkan 18 November hingga 22 November, 2 Disember hingga 6 Disember dan 9 Disember 13 untuk perbicaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 4:01 PM